Ular 20kg sorok dalam kereta di Melaka

Gambar: Agensi berita
ALOR GAJAH: Seorang lelaki yang mahu menghidupkan enjin kereta yang telah setahun tidak digunakan terkejut apabila mendapati ular sawa sepanjang empat meter di bahagian enjin kenderaan di Kampung Pantai Belimbing pada Jumaat (22 Dis).
Dalam kejadian jam 8.00 pagi, pemilik kereta, Zaini Syawa, 54 tahun, berkata, dia tidak menyangka kereta Proton Wira yang diletakkan di dalam garaj rumah sejak tahun lalu menjadi tempat ular sawa menyorok.
Menurut Encik Zaini, beliau mahu menghidupkan enjin kereta dengan menggunakan kabel 'jumper' sebelum dikejutkan dengan penemuan reptilia dianggarkan seberat 20 kilogram, lapor Sinar Harian.
"Saya terus tutup semula bonet kereta dan bergegas berlari ke rumah rakan berdekatan untuk mendapatkan bantuan.
"Seorang rakan saya, kemudian menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) Alor Gajah untuk meminta bantuan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu, dipetik daripada agensi berita Sinar Harian.
Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, tiga anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk menangkap ular sawa itu.
Menurutnya, ular sawa tersebut agak agresif namun berjaya ditangkap dalam masa hampir sejam sebelum dibawa balik ke PDPA Alor Gajah untuk tindakan lanjut.
"Anggota berjaya mengeluarkan ular sawa itu dalam masa kira-kira sejam dengan menggunakan peralatan khas," katanya, lapor Sinar Harian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.