Skip to main content

Dunia

Ulang tahun ke-100 Dr Mahathir: Detik-detik penting bentuk Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
Ulang tahun ke-100 Dr Mahathir: Detik-detik penting bentuk Malaysia

Dr Mahathir Mohamad menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada 10 Julai 2025. (Gambar: Reuters)

KUALA LUMPUR: Hari ini menandakan ulang tahun kelahiran ke-100 Dr Mahathir Mohamad, iaitu tokoh penting dalam politik Malaysia yang pernah memegang jawatan Perdana Menteri selama dua penggal, sekali gus merangkumi tempoh 24 tahun.

Dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Alor Setar, Kedah, Dr Mahathir menerima latihan sebagai doktor perubatan dan menamatkan pengajian di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura pada tahun 1953.

Tahun-tahun awal beliau dalam politik ternyata tidak mudah.

Beliau kalah dalam pilihan raya Parlimen pada 1969, namun kemudian kembali meraih perhatian negara dan menjadi "bapa pemodenan Malaysia", menurut Malay Mail.

Sempena ulang tahun ke-100 ini, berikut adalah beberapa detik penting dalam kerjaya politik Dr Mahathir.

MEMACU PEMODENAN DAN PERTUMBUHAN EKONOMI

1. Dasar Pandang ke Timur


Pada tahun 1980-an, Dr Mahathir melancarkan Dasar Pandang ke Timur (Look East Policy), yang menggesa rakyat Malaysia mencontohi etika kerja dan amalan perniagaan negara seperti Jepun dan Korea Selatan.

Dasar itu mencerminkan wawasannya yang lebih luas untuk memperindustrikan Malaysia dan mengurangkan pergantungan kepada model Barat.

2. Pembinaan prasarana utama

Dalam tempoh 22 tahun pertama sebagai Perdana Menteri (1981–2003), beliau melancarkan pelbagai projek prasarana utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan pembangunan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara.

3. Menara Berkembar Petronas
Menara Kembar Petronas di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 31 Jan 2020. (Gambar fail: REUTERS)
Siap dibina pada 1998, Menara Berkembar Petronas menjadi simbol aspirasi dan kemajuan pesat Malaysia di bawah pimpinan Dr Mahathir, menurut Malay Mail.

MENANGANI KRISIS KEWANGAN ASIA 1997

Ketika krisis kewangan Asia 1997 memuncak, Dr Mahathir menolak bantuan dana daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang dianggap huraian konvensional.

Sebaliknya, beliau mengenakan kawalan modal dan menetapkan kadar pertukaran ringgit bagi mengawal aliran keluar dana dan menstabilkan ekonomi.

Keputusan tersebut, walaupun menimbulkan kontroversi ketika itu, kemudian dipuji kerana membantu Malaysia pulih lebih pantas berbanding negara serantau lain.

KEMBALI KE BIDANG POLITIK PADA USIA 92 TAHUN

Dalam satu peristiwa luar biasa, Dr Mahathir kembali aktif dalam politik pada 2018 dan membentuk gabungan bersama bekas seteru politik, Anwar Ibrahim, dan DAP, bagi mencabar Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, menyusuli skandal 1MDB, menurut Malay Mail.

Di bawah gabungan Pakatan Harapan, Dr Mahathir mengetuai pembangkang bagi mencapai kemenangan bersejarah, sekali gus menamatkan penguasaan berdekad-dekad lamanya oleh Barisan Nasional.

Beliau kemudian menjadi Perdana Menteri tertua di dunia, pada usia **92 tahun.

Namun, penggal keduanya hanya bertahan 22 bulan, yang berakhir pada awal 2020 selepas pergolakan politik dan perubahan sokongan menyebabkan kerajaan tumbang.

MENYOKONG KESWASTAAN

Pada era 1980-an dan 1990-an, Dr Mahathir mendorong penswastaan syarikat milik kerajaan, dengan alasan bahawa langkah itu dapat meningkatkan kecekapan dan pertumbuhan ekonomi.

Walaupun dikritik kerana kononnya memberi kelebihan kepada individu berkepentingan politik, dasar ini menyaksikan penswastaan sektor utama seperti telekomunikasi, elektrik dan penerbangan.

Antara syarikat yang diswastakan termasuk Telekom Malaysia dan Malaysia Airlines.

PERINDUSTRIAN DAN KELAHIRAN PROTON
Dr Mahathir berserta isteri di pelancaran kereta baharu Proton pada 12 Disember 2024. (Gambar: Facebook/@TunDrMahathir)
Salah satu tonggak pemodenan Dr Mahathir ialah projek kereta nasional.

Diilhamkan pada 1979, Projek Kereta Nasional diluluskan Kabinet pada 1982, dan Proton (Perusahaan Otomobil Nasional) ditubuhkan pada 1983 dengan kerjasama syarikat Mitsubishi Corporation.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi lebih besar untuk mengubah struktur ekonomi negara daripada bergantung kepada pertanian kepada pengilangan, lapor Malay Mail.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita