Skip to main content

Dunia

Ukraine serang jambatan Rusia ke Crimea, guna letupan bawah air

Khidmat keselamatan Ukraine SBU pada Selasa (3 Jun) mendakwa pihaknya telah melancarkan serangan terhadap jambatan jalan raya dan kereta api yang menghubungkan Rusia dengan semenanjung Crimea menggunakan bahan letupan di bawah permukaan air.

Anggaran Waktu Membaca:
Ukraine serang jambatan Rusia ke Crimea, guna letupan bawah air

Pemandangan yang menunjukkan Jambatan Crimea seperti yang dilihat dari bandar Kerch, Crimea, pada 17 Julai 2023. (Gambar: REUTERS/Alexey Pavlishak)

KYIV: Khidmat keselamatan Ukraine SBU pada Selasa (3 Jun) mendakwa pihaknya telah melancarkan serangan terhadap jambatan jalan raya dan kereta api yang menghubungkan Rusia dengan semenanjung Crimea menggunakan bahan letupan di bawah permukaan air.

Dalam satu kenyataan, SBU memaklumkan bahawa mereka menggunakan 1,100 kilogram bahan letupan yang diletupkan pada awal pagi dan merosakkan tiang jambatan tersebut. Sebelum ini, jambatan yang diserang itu digunakan sebagai laluan bekalan utama tentera Rusia di Ukraine.

Saluran rasmi Rusia yang menyediakan kemas kini berkala mengenai status jambatan tersebut memaklumkan bahawa operasinya sudah digantung selama kira-kira tiga jam antara pukul 4.00 pagi dengan pukul 7.00 pagi waktu tempatan (pukul 9.00 pagi hingga pukul 12.00 tengah hari waktu Singapura).

Tiada sebab diberikan bagi penutupan sementara itu, namun menurut saluran tersebut, jambatan berkenaan telah dibuka semula dan berfungsi seperti biasa.

“Sebelum ini, kami telah menyerang Jambatan Crimea sebanyak dua kali, pada 2022 dan 2023. Maka hari ini kami meneruskan tradisi tersebut, kali ini dari bawah air,” menurut kenyataan SBU, sambil menambah bahawa operasi itu telah dirancang selama beberapa bulan.

SBU turut berkongsi rakaman video yang menunjukkan letupan berhampiran salah satu tiang yang menyokong jambatan tersebut.

Reuters mengesahkan lokasi tersebut berdasarkan struktur dan elemen sokongan jambatan yang sepadan dengan gambaran satelit dan arkib. Namun Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas bila video tersebut dirakam.

Penulis blog ketenteraan Rusia pula menyatakan bahawa serangan itu tidak berjaya dan berpendapat ia mungkin dilakukan dengan menggunakan dron laut Ukraine.

Pada Ahad lalu, Ukraine melancarkan serangan dron dalam operasi yang dinamakan “Spider's Web” untuk menyerang pesawat pengebom jarak jauh Rusia yang berkemampuan nuklear di beberapa pangkalan udara yang jauh di seluruh Rusia.

Jambatan Crimea sepanjang 19 kilometer, yang merentasi Selat Kerch, merupakan satu-satunya hubungan langsung antara rangkaian pengangkutan Rusia dan semenanjung Crimea, yang ditawan Mosko daripada Ukraine pada 2014.

Jambatan itu merupakan projek utama Presiden Rusia, Vladimir Putin. Ia terdiri daripada laluan jalan raya dan landasan kereta api yang berasingan, kedua-duanya dengan tiang konkrit yang disambung kepada bentangan lebih lebar yang disokong gerbang keluli yang membentuk laluan kapal antara Laut Hitam dan Laut Azov yang lebih kecil.

Jambatan itu digunakan tentera Rusia semasa pencerobohannya ke atas Ukraine pada Februari 2022, apabila mereka menyeberang ke Crimea sebelum mara ke wilayah selatan Kherson dan tenggara Zaporizhzhia di Ukraine.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita