Ukraine, Rusia setuju kuat kuasa gencatan senjata di Laut Hitam
Amerika Syarikat memuktamadkan perjanjian pada Selasa (25 Mac) dengan Ukraine dan Rusia untuk menghentikan serangan di laut dan terhadap sasaran tenaga.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy (kiri) dan Presiden Rusia Vladimir Putin. (Gambar: Reuters/Nicolas Maeterlinck, AP/Vyacheslav Prokofyev/Sputnik)
Washington juga bersetuju untuk berusaha menghapuskan beberapa sekatan terhadap Mosko sebagai sebahagian daripada langkah terbaharunya dalam menyokong pendirian Rusia.
Perjanjian berasingan tersebut merupakan komitmen rasmi pertama bagi kedua-dua pihak yang berperang sejak Presiden Amerika Donald Trump dilantik.
Encik Trump sedang berusaha menamatkan perang dan mempercepatkan pemulihan hubungan negaranya dengan Mosko, sesuatu yang membimbangkan Kyiv dan negara-negara Eropah.
Perjanjian antara Amerika dan Rusia melangkaui perjanjian dengan Ukraine, dengan Washington berjanji untuk membantu usaha dalam menghapuskan sekatan antarabangsa terhadap eksport pertanian dan baja Rusia, yang telah lama menjadi tuntutan utama Mosko.
Menurut pihak Kremlin, perjanjian Laut Hitam tidak akan berkuat kuasa melainkan hubungan antara beberapa bank Rusia dan sistem kewangan antarabangsa dipulihkan.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy berkata perkara tersebut adalah tidak benar, dan tidak ada keperluan bagi menghentikan sebarang sekatan sebelum perjanjian itu berkuat kuasa.
“Malangnya, pada hari rundingan ini sendiri, kita melihat bagaimana Rusia sudah mula memanipulasi,” kata Encik Zelenskyy dalam ucapan videonya.
“Mereka sudah cuba memesongkan perjanjian dan, pada hakikatnya, menipu kedua-dua perantara kita dan seluruh dunia.”
Kedua-dua Kyiv dan Mosko menyatakan pihaknya bergantung kepada Washington untuk menguatkuasakan perjanjian itu, sambil menyuarakan keraguan bahawa pihak lawan akan mematuhinya.
Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov berkata: “Kami memerlukan jaminan yang jelas. Dan berdasarkan pengalaman buruk berhubung perjanjian dengan Kyiv sahaja, jaminan itu hanya boleh terbentuk daripada hasil daripada arahan dari Washington kepada Zelenskyy dan pasukannya untuk melakukan satu perkara dan bukan yang lain.”
Encik Zelenskyy berkata perjanjian gencatan senjata tersebut akan berkuat kuasa dengan serta-merta, dan jika Rusia melanggarnya, beliau akan meminta Presiden Trump untuk mengenakan sekatan tambahan ke atas Mosko dan membekalkan lebih banyak senjata kepada Ukraine.
“Kami tidak mempunyai kepercayaan terhadap Rusia, tetapi kami akan
bersikap konstruktif,” kata beliau.
Perjanjian itu dicapai selepas rundingan selari di Arab Saudi, diikuti panggilan telefon berasingan minggu lalu antara Encik Trump dan kedua-dua presiden, Encik Zelenskyy dan Encik Vladimir Putin.
Presiden Putin menolak cadangan Encik Trump bagi gencatan senjata penuh selama 30 hari, yang sebelum ini disokong Ukraine.
“Kami sedang membuat banyak kemajuan,” kata Encik Trump kepada pemberita pada Selasa, sambil menambah bahawa terdapat “permusuhan yang luar biasa” dalam rundingan itu.
“Ada banyak kebencian, seperti yang anda mungkin boleh lihat, dan ini membolehkan orang ramai berkumpul, menjadi pengantara, menjadi penimbang tara, dan melihat sama ada kita boleh menghentikannya. Dan saya fikir ia akan berjaya.”
Washington melembutkan retoriknya terhadap Rusia dalam beberapa hari kebelakangan ini, dengan utusan Encik Trump, Steve Witkoff, mengatakan bahawa beliau tidak “menganggap Putin sebagai seorang yang jahat”, sesuatu yang membimbangkan para pegawai Eropah yang menganggap pemimpin Rusia itu sebagai musuh berbahaya.
Menteri Pertahanan Ukraine Rustem Umerov pula berkata Kyiv akan menganggap sebarang pergerakan kapal tentera Rusia di luar bahagian timur Laut Hitam sebagai satu pelanggaran dan ancaman, di mana Ukraine akan mempunyai hak penuh untuk mempertahankan diri.
HENTIKAN SERANGAN KE ATAS KEMUDAHAN TENAGA
Rusia menyerang rangkaian tenaga Ukraine dengan peluru berpandu dan dron sepanjang peperangan, dengan alasan bahawa infrastruktur tenaga awam adalah sasaran yang sah kerana ia membantu keupayaan ketenteraan Ukraine.
Baru-baru ini, Ukraine melancarkan serangan jarak jauh ke atas sasaran minyak dan gas Rusia, yang menurutnya membekalkan bahan api kepada tentera Rusia serta menyediakan sumber pendapatan bagi membiayai usaha peperangannya.
Menurut pihak Kremlin, pemberhentian bagi serangan ke atas kemudahan tenaga akan berlangsung selama 30 hari bermula pada 18 Mac, ketika Encik Putin pertama kali membincangkannya dengan Encik Trump.
Ukraine sebelum ini menyatakan bahawa ia hanya akan menerima aturan tersebut selepas perjanjian rasmi dimeterai.
Perjanjian gencatan senjata di laut dapat menangani isu yang kritikal pada awal perang, apabila Rusia mengenakan sekatan laut secara 'de facto' ke atas Ukraine, salah satu pengeksport bijirin terbesar di dunia, memburukkan krisis makanan sedunia.
Sejak kebelakangan ini, pertempuran maritim menjadi sebahagian kecil daripada peperangan itu setelah Rusia menarik balik pasukan lautnya dari bahagian timur Laut Hitam susulan beberapa serangan yang berjaya dilancarkan Ukraine.
Kyiv dapat membuka kembali pelabuhannya dan menyambung semula
eksport pada tahap hampir sama seperti sebelum peperangan bermula, walaupun perjanjian penghantaran Laut Hitam yang diusahakan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini terhenti. Namun, pelabuhannya masih sering menjadi sasaran serangan udara. Encik Zelenskyy berkata perjanjian yang dicapai akan menghalang serangan sedemikian.
Menurut Mosko, perjanjian tersebut memerlukan pelepasan sekatan, termasuk pemulihan hubungan antara bank eksport pertanian Rusia dan sistem pembayaran antarabangsa SWIFT. Langkah itu serta langkah-langkah lain mungkin memerlukan persetujuan daripada negara-negara Eropah.
Encik Trump mendesak Mosko dan Kyiv untuk menamatkan peperangan dengan segera, satu matlamat yang dijanjikannya semasa bertanding untuk dilantik sebagai presiden tahun lalu.
Pada masa yang sama, beliau sedang mengejar pemulihan hubungan yang segera dengan Rusia, yang menurut Washington dan Mosko boleh membawa kepada peluang perniagaan yang menguntungkan.
Ukraine dan sekutu Eropahnya bagaimanapun bimbang Encik Trump mungkin mencapai perjanjian terburu-buru dengan Encik Putin, yang mengancam keselamatan mereka dan akur terhadap tuntutan Rusia, termasuk desakan agar Kyiv meninggalkan cita-citanya untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta menyerahkan wilayah yang dituntut Mosko.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.