Skip to main content

Dunia

Ukraine memperingati 1,000 hari diceroboh Rusia, harap perang tamat 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Ukraine memperingati 1,000 hari diceroboh Rusia, harap perang tamat 2025

Para penganut Kristian beribadat di Biara Berkuba Emas Ortodoks Ukraine di Kyiv pada 6 Jan 2023 di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine. (Gambar: Sameer Al-Doumy/AFP)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 19 Nov 2024 08:12AM Dikemas Kini : 19 Nov 2024 08:13AM
KYIV: Ukraine menandakan 1,000 hari sejak pencerobohan berskala besar Rusia, pada Selasa, menjadikannya perang terburuk di Eropah pada dekad ini.

Perang dua negara itu menyebabkan ribuan orang awam terkorban, termasuk kanak-kanak, selain jutaan orang kehilangan tempat tinggal.

Pencerobohan bermula dengan serangan peluru berpandu dari udara di beberapa bandar utama di Ukraine.

Sebagai dorongan untuk negara yang dibelenggu perang itu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden memberi lampu hijau untuk peluru berpandu AS digunakan untuk menyerang sasaran jauh ke dalam wilayah Rusia.

Kementerian Luar Rusia mengatakan tindakan sedemikian, secara asasnya mengubah sifat perang itu dan bakal mencetuskan tindak balas hebat dari Rusia.

Mosko memberi amaran bahawa perangnya dengan Ukraine akan menjadi bertambah buruk jika Kyiv menggunakan peluru berpandu jarak jauh Amerika untuk menyerang wilayah-wilayah Rusia.

Bagaimanapun, perubahan dramatik dalam dasar itu mungkin berubah lagi dengan kembalinya Donald Trump ke Rumah Putih pada Januar ii 2025.

Beribu-ribu rakyat Ukraine terkorban, manakala lebih 6 juta hidup sebagai pelarian di luar negara dengan jumlah penduduknya berkurangan sebanyak satu perempat sejak pemimpin Kremlin Vladimir Putin mengarahkan pencerobohan melalui darat, laut dan udara yang memulakan konflik terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Encik Trump telah berikrar untuk menamatkan pertempuran dengan cepat - tanpa memberikan butirannya - sekali gus emnimbulkan tanda tanya masa depan bantuan ketenteraan AS dan Barat bersatu menentang Presiden Putin.

PROSPEK RUNDINGAN DIPERCEPAT

Mosko dan Kyiv masing-masing berusaha untuk memperbaiki kedudukan di medan perang sebelum sebarang rundingan diadakan.

Mosko yang dirangsang dengan serangan dron Iran dan peluru berpandu balistik dari Korea Utara, kini telah mengerahkan 11,000 tentera Pyongyang. Menurut Kyiv, beberapa daripada mereka telah bertempur dengan tentera Ukraine yang telah merampas sebahagian wilayah Kursk Rusia.

Seorang pegawai kanan Kyiv berkata Pyongyang mempunyai kapasiti untuk menghantar 100,000 tentera.

Sementara itu, Ukraine mempunyai beberapa tentera terbaiknya yang cuba mempertahankan sebuah wilayah kecil Rusia, yang ditawan pada bulan Ogos.

Kyiv berkata Rusia telah menghimpunkan 50,000 tentera di sana, manakala tentera Kremlin juga telah membuat kemaaran terpantas mereka di timur Ukraine sejak 2022 - dan meningkatkan tekanan di timur laut dan tenggara juga.

Mosko pada Ahad memperbaharui serangan udaranya ke atas sistem kuasa Ukraine, melepaskan 120 peluru berpandu dan 90 dron dalam serangan udara terbesar sejak Ogos.

Selain lampu hijau untuk menyerang sasaran tentera di dalam Rusia dengan senjata yang dibekalkan oleh Amerika, bantuan kewangan dan senjata luar juga kekal penting.

RUSIA TUNTUT UKRAINE SERAH WILAYAH, CITA-CITA JADI ANGGOTA NATO

Misi Pemantauan Hak Asasi Manusia PBB telah mengesahkan kematian 11,743 orang awam Ukraine, walaupun beberapa pegawai Kyiv percaya jumlah itu jauh lebih tinggi.

Presiden Volodymyr Zelenskiy berkata minggu lalu bahawa Ukraine mesti melakukan yang terbaik untuk menamatkan perang tahun depan melalui cara diplomatik. Tetapi beliau dengan tegas telah menutup sebarang perbincangan mengenai gencatan senjata sebelum jaminan keselamatan yang sewajarnya diberikan kepada Ukraine.

Kremlin berkata matlamat perangnya kekal tidak berubah sejakEncik Putin berkata pada Jun bahawa Ukraine mesti menggugurkan cita-citanya untuk menyertai NATO, dan mesti berundur dari empat wilayah Ukraine yang sebahagiannya dikawal tenteranya, semuanya sama dengan menyerah kalah untuk Kyiv.

Lautan bendera kecil Ukraine yang memberi penghormatan kepada korban perang itu kini ditempatkan di sudut Dataran Kemerdekaan Kyiv, yang pernah menjadi nadi bantahan besar-besaran pro-Eropah yang menggulingkan presiden Ukraine disokong Mosko pada 2014.

 
Sumber : Agensi berita
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita