Skip to main content

Dunia

Ukraine enggan undur dari Donbas, Rusia cuba raih kelebihan menjelang sidang Trump-Putin

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, pada Selasa (12 Ogos) menidakkan cadangan untuk menarik balik tenteranya dari wilayah Donbas di bahagian timur, menolak apa yang disifatkannya sebagai cadangan Rusia yang akan menyebabkan Kyiv kehilangan kubu pertahanannya dan membuka laluan kepada serangan baharu.

Anggaran Waktu Membaca:
Ukraine enggan undur dari Donbas, Rusia cuba raih kelebihan menjelang sidang Trump-Putin

Anggota Briged Infantri Bermotor Berasingan ke-58 Angkatan Tentera Ukraine menghadiri latihan ketenteraan di kawasan latihan, di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, di wilayah Kharkiv, Ukraine, 11 Ogos 2025. (Gambar: REUTERS/Sofiia Gatilova)

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, pada Selasa (12 Ogos) menidakkan cadangan untuk menarik balik tenteranya dari wilayah Donbas di bahagian timur, menolak apa yang disifatkannya sebagai cadangan Rusia yang akan menyebabkan Kyiv kehilangan kubu pertahanannya dan membuka laluan kepada serangan baharu.

Rumah Putih menyatakan bahawa mesyuarat di Alaska itu akan menjadi “sesi mendengar” bagi Presiden Trump, yang akan bertemu secara bersemuka dengan Presiden Putin untuk mendapatkan “pemahaman yang lebih kukuh dan lebih baik” tentang bagaimana peperangan itu boleh ditamatkan.

“Hanya satu pihak yang terlibat dalam peperangan ini akan hadir,” kata jurucakap Karoline Leavitt, sambil menambah bahawa presiden Amerika Syarikat itu mempunyai “rasa hormat yang mendalam terhadap semua pihak” dan mungkin akan bertemu dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pada masa akan datang.

Kenyataan itu dibuat sedang tentera Rusia melancarkan serangan mengejut berhampiran bandar perlombongan arang batu Dobropillia di Donetsk, di mana mereka mara sehingga 10 kilometer ke utara dalam dua arah, dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, berdasarkan peta perang DeepState Ukraine.

Serangan itu, antara yang paling mendadak dalam tempoh setahun lalu, dilihat bertujuan untuk mendapatkan kelebihan menjelang mesyuarat yang dirancang antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin di Alaska pada Jumaat ini.

Encik Zelenskyy berkata, tawaran Mosko adalah untuk menghentikan kemaraannya di wilayah-wilayah Ukraine yang lain sebagai pertukaran bagi pengunduran pihak Kyiv dari Donbas, yang merangkumi Donetsk dan Luhansk. Ukraine masih mengawal kira-kira 30 peratus daripada wilayah Donetsk, iaitu sekitar 9,000 kilometer persegi, dan menguasai kawasan tanah tinggi yang strategik di situ.

“Putin akan mempunyai laluan terbuka ke wilayah Zaporizhzhia dan Dnipro. Begitu juga ke Kharkiv,” kata Encik Zelenskyy. “Isu wilayah tidak boleh dipisahkan daripada jaminan keselamatan.” Beliau menegaskan bahawa sebarang rundingan berhubung wilayah mesti dibuat selepas perjanjian gencatan senjata, dengan Ukraine terlibat secara langsung dalam rundingan tersebut.

Encik Trump sebelum ini mencadangkan pertukaran wilayah mungkin menjadi sebahagian daripada sebarang perjanjian damai, satu cadangan yang menurut Encik Zelenskyy dilarang oleh perlembagaan Ukraine.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita