Ukraine enggan komited rundingan dengan Rusia; senator Amerika Syarikat beri amaran sekatan terhadap Mosko
Ukraine enggan tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat dan Rusia untuk melahirkan komitmen bagi menghadiri satu lagi pusingan rundingan damai pada Isnin (2 Jun), dengan menyatakan bahawa ia perlu melihat cadangan rasmi daripada pihak Rusia terlebih dahulu.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, bertemu dengan Senator Amerika Syarikat dari parti Republican, Lindsey Graham, dan Democrat, Richard Blumenthal, di Kyiv pada 30 Mei 2025. (Gambar: Perkhidmatan Akhbar Presiden Ukraine/Handout melalui REUTERS)
Sementara itu, seorang senator kanan Amerika Syarikat memberi amaran bahawa Mosko akan “terjejas teruk” ekoran sekatan baharu dari Washington.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menggesa Mosko dan Kyiv untuk bekerjasama dalam mencari penyelesaian bagi menamatkan perang yang sudah berlarutan selama tiga tahun, dan Rusia mencadangkan pusingan kedua rundingan secara bersemuka dengan pegawai Ukraine di Istanbul minggu depan.
Pihak Kyiv menyatakan ia komited terhadap usaha damai, namun masih menunggu memorandum yang memperincikan rancangan mereka daripada Rusia.
“Bagi menjadikan sesuatu pertemuan itu bermakna, agendanya mesti jelas dan rundingan perlu dipersiapkan dengan rapi,” tulis Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, di platform X pada Jumaat selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Turki di Kyiv.
“Malangnya, Rusia sedang melakukan segala-galanya untuk memastikan pertemuan seterusnya tidak membuahkan hasil,” katanya, sambil merujuk kepada ketiadaan dokumen rasmi dari Rusia.
Delegasi kedua-dua negara sebelum ini bertemu di Istanbul pada 16 Mei, namun sesi tersebut hanya menghasilkan satu persetujuan mengenai pertukaran tahanan.
Encik Zelenskyy berkata beliau dan Presiden Turki, Tayyip Erdogan, membincangkan syarat-syarat penyertaan Ukraine dalam mesyuarat yang dicadangkan Rusia pada Isnin, dalam satu perbualan telefon pada Jumaat.
“Mesti ada gencatan senjata untuk bergerak lebih jauh ke arah perdamaian. Pembunuhan orang awam mesti dihentikan,” tulis Encik Zelenskyy di Telegram.
“Kami sependapat bahawa mesyuarat ini tidak boleh dan tidak seharusnya kosong,” kata Encik Zelenskyy.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan komitmen untuk hadir pada Isnin, meskipun menyatakan bahawa beliau dan Encik Erdogan turut berbincang tentang kemungkinan untuk mengadakan satu mesyuarat empat pihak melibatkan pemimpin Ukraine, Rusia, Turki dan Amerika Syarikat.
Menurut kenyataan pejabat presiden Turki, Encik Erdogan menegaskan bahawa penting untuk Rusia dan Ukraine menghantar delegasi yang kukuh ke Istanbul, dan bahawa mesyuarat pemimpin boleh menyumbang kepada proses damai.
Beberapa anggota Republican di Kongres Amerika Syarikat dan penasihat Rumah Putih telah menggesa Encik Trump supaya melaksanakan sekatan baharu terhadap Rusia bagi meningkatkan tekanan ke atas Mosko.
Senator Republican yang berpengaruh, Lindsey Graham, dalam lawatannya ke Kyiv berkata bahawa Senat Amerika Syarikat yang kini diketuai Republican dijangka membentangkan rang undang-undang sekatan terhadap Rusia minggu depan.
Encik Graham, yang bertemu dengan Encik Zelenskyy di Kyiv, memberitahu sidang media bahawa beliau telah berbincang dengan Encik Trump sebelum lawatannya, dan Presiden Amerika Syarikat kini menjangkakan tindakan konkrit daripada Mosko.
Beliau menuduh Presiden Rusia, Vladimir Putin, cuba melengahkan proses damai dan menyatakan bahawa beliau ragu rundingan di Istanbul akan membuahkan sebarang hasil selain daripada menjadi sekadar “helah Rusia”.
“Permainan yang dimainkan Putin bakal berubah. Dia akan diserang – dan diserang hebat oleh Amerika Syarikat melalui sekatan,” kata Encik Graham.
Encik Trump pula memberitahu wartawan pada Jumaat bahawa kedua-dua Encik Putin dan Encik Zelenskyy bersikap degil, dan beliau terkejut serta kecewa dengan pengeboman Rusia di Ukraine sedang beliau berusaha untuk mengatur gencatan senjata. Encik Trump bagaimanapun tidak menyebutkan sebarang sekatan.
Perang tersebut, yang terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua, bermula dengan pencerobohan besar-besaran Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022.
Jangkaan bagi rundingan itu kekal rendah memandangkan pendirian kedua-dua pihak masih jauh berbeza, dan perbincangan untuk merapatkan jurang belum benar-benar bermula.
Namun begitu, Kyiv dan Mosko mahu menunjukkan kepada Encik Trump bahawa mereka menyokong usaha damai beliau. Kyiv berharap untuk mendapatkan lebih banyak bantuan ketenteraan dari Amerika Syarikat, manakala Mosko berharap Encik Trump akan melonggarkan sekatan ekonomi sedia ada ke atas Rusia.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, berkata delegasi Rusia akan berangkat ke Istanbul dan bersedia untuk berunding dengan Ukraine pada pagi Isnin.
“Semua pihak kini memberi tumpuan kepada rundingan langsung antara Rusia dan Ukraine. Senarai syarat untuk gencatan senjata sementara sedang dirangka,” kata Encik Peskov.
Rusia menyatakan bahawa delegasi ke Istanbul akan diketuai pembantu Kremlin, Vladimir Medinsky, yang mengetuai pusingan rundingan sebelumnya pada 16 Mei.
TIADA LAGI PENGEMBANGAN NATO?
Reuters melaporkan minggu ini bahawa antara syarat Presiden Putin untuk menamatkan perang ialah permintaan agar pemimpin Barat membuat ikrar bertulis untuk menghentikan pengembangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke arah timur.
Utusan khas Encik Trump ke Ukraine, Keith Kellogg, berkata pada Jumaat bahawa kebimbangan Rusia terhadap pengembangan NATO ke timur adalah wajar, dan Washington tidak mahu melihat Ukraine menyertai pakatan ketenteraan yang diketuai Amerika Syarikat itu.
Mengulas kenyataan Encik Kellogg, jurucakap Kremlin, Peskov, berkata: “Kami gembira kerana penjelasan presiden difahami, termasuk di Washington.”
Menteri Luar Turki, Hakan Fidan, memberitahu wartawan di Kyiv bahawa langkah seterusnya selepas rundingan di Istanbul ialah untuk cuba menganjurkan pertemuan antara Encik Trump, Encik Putin dan Encik Zelenskyy.
Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha, berkata Kyiv perlu melihat terlebih dahulu cadangan Rusia bagi memastikan rundingan itu “bermakna dan substansif,” tanpa memaklumkan apa yang akan dilakukan Kyiv jika pihaknya tidak menerima dokumen Rusia itu atau tarikh akhir untuk menerimanya.
“Kami mahu menamatkan perang ini tahun ini, dan kami berminat untuk mewujudkan gencatan senjata, sama ada selama 30 hari, 50 hari, atau 100 hari,” katanya.
Duta Rusia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Vassily Nebenzia, pula memberitahu Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat bahawa Mosko bersedia mempertimbangkan gencatan senjata sekiranya negara-negara Barat menghentikan penghantaran senjata kepada Ukraine dan Kyiv menghentikan pengerahan tenteranya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.