Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ukraine akan sertai NATO tetapi dalam 'jangka panjang', kata Ketua NATO

Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Jens Stoltenberg berkata pada Selasa (28 Feb) bahawa Ukraine akan menjadi anggota pakatan itu dalam "jangka panjang" tetapi menekankan bahawa isu mendesak kini adalah supaya ia kekal sebagai sebuah negara merdeka dalam menghadapi pencerobohan Rusia.

Anggaran Waktu Membaca:

HELSINKI: Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Jens Stoltenberg berkata pada Selasa (28 Feb) bahawa Ukraine akan menjadi anggota pakatan itu dalam "jangka panjang" tetapi menekankan bahawa isu mendesak kini adalah supaya ia kekal sebagai sebuah negara merdeka dalam menghadapi pencerobohan Rusia.

"Negara-negara sekutu NATO bersetuju bahawa Ukraine akan menjadi anggota pakatan kami tetapi pada masa yang sama, ia merupakan perspektif jangka panjang," kata Encik Stoltenberg kepada wartawan semasa lawatan ke ibu negara Finland, Helsinki.

Encik Stoltenberg menambah bahawa "isunya kini adalah supaya Ukraine terus menjadi sebuah negara merdeka yang berdaulat dan justeru NATO perlu memberi sokongan kepada Ukraine".

Susuli pencerobohan oleh Rusia, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menggesa pakatan tentera yang dipimpin Amerika Syarikat itu supaya memberikan keanggotaan pantas kepada Ukraine.

Ukraine memohon bagi keanggotaan Kesatuan Eropah (EU) pada Februari 2022, tidak lama selepas ia dicerobohi dan diberikan status calon pada Jun lalu.

Apabila perang ini berakhir, "kita harus pastikan bahawa sejarah tidak akan berulang", kata Encik Stoltenberg dalam sidang media bersama Perdana Menteri Finland Sanna Marin.

"Presiden Putin tidak boleh terus menyerang negara-negara jirannya. Beliau mahu mengawal Ukraine dan tidak merancang untuk perdamaian, sebaliknya beliau merancang melakukan lebih banyak peperangan."

Diugut dengan pencerobohan Mosko di Ukraine, Finland dan Sweden menggugurkan dasar-dasar ketidakselarasan tentera yang dipegang selama berdekad lama dan memohon untuk menyertai NATO pada Mei 2022.

"Saya melihat masa hadapan Ukraine adalah untuk menjadi sebahagian daripada Kesatuan Eropah dan juga anggota NATO," kata Cik Marin.

Turki dan Hungary merupakan anggota yang belum lagi mengesahkan bidaan Finland dan Sweden untuk menyertai pakatan itu.

Encik Stoltenberg berkata bahawa "kedua-dua Finland dan Sweden mengotakan apa yang mereka janjikan dalam perjanjian tiga hala yang dimeterai bersama Turki pada Jun lalu di Madrid".

"Kali ini sudah tiba masanya untuk mengesahkan dan mengalu-alukan Finland serta Sweden sebagai anggota," katanya.

Sumber : AP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan