Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UK siasat dakwaan Rusia guna senjata kimia di Mariupol

Anggaran Waktu Membaca:
UK siasat dakwaan Rusia guna senjata kimia di Mariupol

Bangunan terbakar di Mariupol, Ukraine. (Gambar: Satellite image ©2022 Maxar Technologies / AFP)

LONDON: Britain cuba mengesahkan laporan bahawa Rusia menggunakan senjata kimia dalam serangan ke atas bandar Mariupol, Ukraine yang terkepung, kata diplomat tertinggi London pada Isnin (11 Apr).

"Terdapat laporan bahawa tentera Rusia mungkin menggunakan agen kimia dalam serangan ke atas penduduk Mariupol. Kami sedang bekerjasama dengan rakan kongsi untuk mengesahkan butirannya," kata Setiausaha Luar Liz Truss di Twitter.

"Sebarang penggunaan senjata sedemikian akan memburukkan lagi konflik ini dan Putin serta rejimnya akan dipertanggungjawabkan."

Anggota Parlimen Ukraine Ivanna Klympush mendakwa Rusia telah menggunakan "bahan tidak diketahui" di Mariupol dan penduduk mengalami masalah pernafasan. "Kemungkinan besar senjata kimia (chem.weapons)!" katanya dalam satu catatan di Twitter.

Awal dari itu, batalion Azov di Ukraine dalam mesej di Telegram mendakwa sebuah dron Rusia melepaskan "bahan beracun" ke atas tentera dan orang awam Ukraine di Mariupol.

Pasukan itu juga mendakwa bahawa orang ramai mengalami kegagalan pernafasan dan masalah saraf.

Pengasas batalion itu, Andrei Biletsky, berkata tiga orang mengalami kesan daripada bahan beracun yang tidak diketahui.

"Tiga orang mengalami tanda-tanda jelas keracunan akibat bahan kimia peperangan, tetapi tanpa kesan buruk yang lebih besar," katanya dalam ucapan video di Telegram.

AFP tidak dapat mengesahkan dakwaan itu.

Pegawai kanan pemisah Donetsk, Eduard Basurin sebelum ini pernah membayangkan kemungkinan menggunakan senjata kimia terhadap bandar pelabuhan di selatan itu yang berjaya menahan serangan bom Rusia selama berminggu-minggu.

Rusia bagaimanapun menafikan melakukan sebarang jenayah perang semasa serangannya ke atas Ukraine.

Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata Rusia telah menghimpunkan ribuan askar bagi ofensif di Donbass dan sasaran utamanya adalah bandar pelabuhan Mariupol.

Menurut beliau lagi, puluhan ribu orang terbunuh di bandar strategik itu, dalam ucapan video kepada anggota parlimen Korea Selatan tanpa memberikan butiran lanjut.

Jika dakwaannya itu disahkan, ia merupakan jumlah kematian tertinggi yang dilaporkan sejauh ini di satu-satu tempat di Ukraine.

Ketua Republik Rakyat Donetsk yang disokong Rusia, Denis Pushilin, memberitahu Agensi berita RIA Rusia pada Isnin bahawa lebih 5,000 orang terbunuh di Mariupol dengan tentera Ukraine katanya bertanggungjawab atas kejadian itu.

Sumber : Agensi berita/SU/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan