UK seru jangan berat sebelah isu keberkesanan alat perubatan
Alat seperti oksimeter misalnya memberi bacaan kurang tepat bagi pesakit berkulit lebih gelap, sekali gus membahayakan nyawa golongan etnik minoriti di tengah pandemik COVID-19.

LONDON: Britain pada Ahad (21 Nov) menggesa tindakan antarabangsa diambil terhadap isu peranti perubatan seperti oksimeter yang berfungsi lebih baik pada orang yang berkulit cerah, dengan menekankan bahawa jurang keberkesanan itu mungkin membahayakan nyawa pesakit dari golongan etnik minoriti di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Setiausaha Kesihatan Sajid Javid berkata beliau telah mengarahkan semakan terhadap isu itu selepas mendapat tahu bahawa oksimeter, yang mengukur tahap oksigen dalam darah pesakit COVID-19, memberikan bacaan yang kurang tepat bagi pesakit berkulit lebih gelap.
"Ini adalah sistemik di seluruh dunia. Ini melibatkan berat sebelah (berdasarkan) kaum dalam beberapa alat perubatan. Ia tidak disengajakan tetapi tetap wujud dan oksimeter adalah contoh yang sangat baik," kata Encik Javid dalam satu temu bual dengan BBC.
Ditanya sama ada kegenjotan itu mungkin menyebabkan kematian akibat COVID-19, Encik Javid berkata: "Saya rasa mungkin ya. Saya tidak mempunyai fakta penuh."
Menurutnya kegenjotan itu disebabkan banyak peranti perubatan, ubat, prosedur dan buku teks dibangunkan di negara majoriti kulit putih.
"Saya mahu memastikan bahawa kita melakukan sesuatu mengenainya tetapi bukan hanya di UK. Ini adalah isu antarabangsa jadi saya akan bekerjasama dengan rakan sejawatan saya di seluruh dunia untuk mengubahnya," kata Encik Javid.
Tambahnya, beliau sudah bercakap mengenai isu itu kepada rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat, yang turut menunjukkan minat sama terhadap hal itu.
Encik Javid berkata beliau maklum tentang masalah itu selepas meneliti sebab orang dari latar belakang etnik kulit hitam dan kumpulan minoriti lain di Britain lebih terjejas oleh COVID-19.
Menurutnya pada kemuncak peringkat awal pandemik itu, satu pertiga daripada kemasukan COVID-19 ke unit jagaan rapi terdiri daripada pesakit etnik minoriti. Ini adalah seganda lebih tinggi berbanding peratusan penduduk awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.