Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UK, Perancis, Sepanyol & China bergelut gelombang haba luar biasa

Anggaran Waktu Membaca:

BRITAIN/CHINA: Kehidupan jutaan penduduk di Britain terjejas disebabkan oleh cuaca panas ekstrem yang menimbulkan pelbagai masalah di Eropah. 

Dengan suhu yang mencatat rekod baru diramalkan pada Selasa (19 Jul) dan amaran cuaca panas ekstrem yang dikeluarkan oleh negara itu buat pertama kalinya, para doktor menggesa orang ramai supaya mengenal pasti tanda-tanda penyakit yang berhubung kait dengan cuaca panas. 

Cuaca panas dan kering yang melanda tanah besar Eropah sepanjang minggu lalu sudah beralih ke utara, sekali gus menjejas perjalanan, penjagaan kesihatan dan sekolah di United Kingdom (UK). 

Cuaca panas turut disaksikan di selatan Eropah sejak minggu lalu, mencetuskan kebakaran belukar di Sepanyol, Portugal dan Perancis. Hampir 600 kematian berkaitan cuaca terlampau panas sudah dilaporkan di Sepanyol dan Portugal, di mana suhu mencecah 47 darjah Selsius minggu lalu. 

Pakar iklim memberi amaran bahawa pemanasan bumi menyebabkan fenomena cuaca ekstrem ini berlaku dengan lebih kerap lagi, dengan kajian menunjukkan bahawa kemungkinan suhu di UK mencecah 40 darjah Selsius kini 10 kali lebih tinggi berbanding waktu sebelum era perindustrian. 

Kemarau dan gelombang haba berkaitan dengan perubahan iklim juga menyebabkan hutan belukar ini sukar untuk dipadamkan. 

Para pegawai di wilayah Gironde, selatan Perancis mengumumkan rancangan untuk memindahkan lagi 3,500 penduduk daripada bandar-bandar yang di bawah ancaman kebakaran. 

Lebih 1,500 anggota bomba dan pesawat menyembur air sedang mereka cuba memadamkan kebakaran di hutan pain wilayah itu yang sangat kering. 

Amaran cuaca merah yang meliputi sebahagian besar England akan berterusan sehingga Selasa (19 Jul) dengan suhu mungkin mencecah 40 darjah Selsius buat pertama kalinya, menyebabkan risiko penyakit serius dan kematian dalam kalangan penduduk yang sihat, menurut Met Office, agensi meteorologi UK. 

Suhu paling tinggi yang pernah dicatatkan di Britain adalah 38.7 darjah Selsius pada 2019. 

Negara tersebut belum bersiap sedia untuk mengatasi cuaca terlampau panas sebegitu - sebilangan besar rumah, sekolah dan perniagaan kecil di Britain tidak mempunyai alat penghawa dingin. 

Dalam pada itu, sebahagian besar China, gelombang haba musim panas dijangka berlaku minggu ini sehingga lewat Ogos, menurut agensi ramalan cuaca negara itu.

Ini meskipun ia akan mengalami hujan musiman yang singkat. 

Suhu antara 39 hingga 42 darjah Selsius dijangkakan di wilayah bahagian selatan negara itu selepas Rabu (20 Jul), termasuk wilayah Jiangxi, Zhejiang dan Fujian, menurut Jabatan Pentadbiran Meterologi China pada Ahad (17 Jul). 

Walaupun adakala cuaca tidak terlalu ekstrem di wilayah seperti Hebei, Hunan, Hubei, Guizhou dan Jiangxi, suhu maksimum di wilayah lain dijangka mencecah paras 37 darjah Selsius. 

Cuaca ekstrem ini dijangka berterusan dari 16 Jul sehingga 24 Ogos bagi seluruh negara tersebut buat "tempoh berlanjutan" sebanyak 40 hari, berbanding 30 hari biasanya, menurut agensi tersebut di laman webnya.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan