UK keluarkan amaran kesihatan sedang gelombang haba kelima dijangka melanda
United Kingdom dijangka dilanda gelombang haba kelima tahun ini, dengan suhu sehingga 36 darjah Celsius diramalkan di beberapa kawasan minggu depan. (Gambar: Reuters)
Suhu maksimum sehingga 36 darjah Celsius diramalkan di beberapa kawasan minggu depan.
Amaran kesihatan tahap kuning itu mula berkuat kuasa pada pagi Sabtu dan akan kekal sehingga malam Selasa (11 Ogos).
Amaran tersebut memberi peringatan bahawa cuaca panas berkemungkinan menjejas kesejahteraan penduduk serta meningkatkan tekanan terhadap khidmat penjagaan kesihatan.
Pejabat Meteorologi UK (Met Office) menyatakan suhu akan terus meningkat sepanjang hujung minggu sebelum keadaan gelombang haba kembali melanda minggu depan.
Suhu maksimum 36 darjah Celsius dijangka dicatatkan di beberapa kawasan di East Anglia dan tenggara England menjelang Khamis (13 Ogos).
LEBIH 2,800 KEMATIAN DIKAITKAN DENGAN DUA GELOMBANG HABA
Dua gelombang haba yang memecahkan rekod pada Mei dan Jun dipercayai menyumbang kepada lebih 2,800 kematian.
Dua lagi gelombang haba pada Julai pula mencetuskan kemarau dan kebakaran hutan.
Suhu tertinggi UK tahun ini, iaitu 38 darjah Celsius, dicatatkan di Lingwood, Norfolk, pada 28 Jun.
Setakat ini, 33 hari tahun ini mencatatkan suhu melebihi 30 darjah Celsius di beberapa kawasan UK.
Rekod 34 hari yang dicatatkan pada 1995 dijangka diatasi minggu depan.
SUHU DIJANGKA MEMUNCAK PADA KHAMIS
Menurut ramalan cuaca, keadaan pada hujung minggu dijangka berbeza dengan ketara antara utara dengan selatan UK.
Scotland dan Ireland Utara dijangka mengalami hujan lebat berselang-seli, manakala England dan Wales diramalkan kekal kering, cerah dan semakin panas.
Suhu dijangka mencecah 30 darjah Celsius pada Sabtu sebelum meningkat melebihi 30 darjah Celsius di selatan dan tenggara England pada Ahad (9 Ogos).
Suhu maksimum sehingga 30 darjah Celsius dijangka dicatatkan di beberapa kawasan England dan Wales pada Selasa, sebelum meningkat kepada antara 32 hingga 34 darjah Celsius pada Rabu (12 Ogos).
Suhu tertinggi pula dijangka dicatatkan pada Khamis.
Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) mengeluarkan amaran kesihatan tahap kuning bagi East Midlands, West Midlands, Tenggara, Barat Daya, Timur England, Yorkshire dan Humber serta London.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.