Skip to main content

Dunia

UK isytihar kemarau di beberapa bahagian England dek gelombang haba

Anggaran Waktu Membaca:
LONDON: Britain secara rasmi mengisytiharkan kemarau di beberapa bahagian England pada Jumaat (12 Ogos) ketika isi rumah berdepan dengan sekatan penggunaan air baru semasa tempoh panjang cuaca panas dan kering yang menguji infrastruktur negara dengan teruk.

Beberapa bahagian selatan, tengah dan timur England kini jatuh ke fasa kemarau.

Ini bermakna syarikat air harus meningkatkan usaha menguruskan kesan cuaca kering terhadap petani dan alam sekitar, menurut Agensi Alam Sekitar dalam satu kenyataan media.
"Semua syarikat bekalan air memberi jaminan bahawa bekalan penting masih selamat. Kami juga sudah menjelaskan adalah tanggungjawab mereka untuk mengekalkan bekalan tersebut," kata Menteri Air Steve Double, selepas mesyuarat dengan Badan Kemarau Kebangsaan.

England kini berdepan gelombang haba keempat sejak Jun, paling kering sejak 1935.

Negara itu hanya menerima 35 peratus daripada purata hujan dengan sebahagian England dan Wales kini berada di tengah-tengah amaran "panas melampau" empat hari.

Kemarau terakhir di England ialah pada 2018.

Pejabat Kaji Cuaca mengeluarkan amaran pada Jumaat (12 Ogos) bahawa apabila cuaca kering berakhir awal minggu depan, hujan berserta guruh boleh menyebabkan banjir di beberapa kawasan negara.
LARANGAN GUNA HOS AIR

Pada awal Jumaat, syarikat bekalan air, Yorkshire water, mengumumkan larangan menggunakan sistem hos air mulai 26 Ogos. Ia melarang pelanggan menggunakan hos air untuk menyiram taman, mencuci kereta ataupun mengisi kolam air.

Syarikat yang membekalkan air kepada hampir 2.3 juta isi rumah dan 130,000 pelanggan perniagaan di utara England dan sebahagian Midlands, merupakan syarikat bekalan air serantau terbaru yang mengumumkan sekatan berkenaan.

Larangan terhadap penggunaan hos air dan perenjis untuk pelanggan South East Water berkuatkuasa pada Jumaat (12 Ogos).

Thames Water yang membekalkan air kepada 15 juta orang di sekitar London menyatakan bahawa ia juga merancang untuk mengenakan larangan yang sama.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita