Skip to main content

Dunia

Ujian besar pertama Prabowo sebagai presiden susuli tunjuk perasaan, kematian penunggang motosikal Gojek

Anggaran Waktu Membaca:
Ujian besar pertama Prabowo sebagai presiden susuli tunjuk perasaan, kematian penunggang motosikal Gojek

Para penunjuk perasaan membaling batu ke arah polis di luar ibu pejabat Brimob, sehari selepas penunggang motosikal Gojek maut selepas dilanggar dan digilis kenderaan taktikal polis di Jakarta, Indonesia pada 29 Ogos 22025. Kurniawan (Gambar: Reuters/Willy Kurniawan)

Diterbitkan : 30 Aug 2025 07:59AM Dikemas Kini : 30 Aug 2025 08:04AM
JAKARTA: Beratus-ratus rakyat Indonesia mengadakan tunjuk perasaan di seluruh Jakarta pada Jumaat (29 Ogos) atas kematian orang awam yang digilis kenderaan polis, mencetuskan gesaan bagi penyusunan semula operasi polis dalam ujian besar pertama terhadap pemerintah pimpinan Presiden Prabowo Subianto yang berusia hampir setahun.

Orang awam itu, penunggang motosikal khidmat penghantaran Gojek, telah dilanggar dan digilis kenderaan taktikal polis di lokasi di mana berlaku pertempuran ganas pada Khamis (28 Ogos) berhampiran bangunan parlimen sedang polis berusaha untuk menyuraikan para penunjuk perasaan yang membantah beberapa isu, termasuk kenaikan gaji ahli parlimen dan pembiayaan pendidikan.

Tunjuk perasaan pada petang Jumaat (29 Ogos) di ibu negara ekonomi terbesar Asia Tenggara itu mendorong sesetengah sekolah membenarkan para pelajar keluar awal dan bank serta syarikat-syarikat perniagaan meminta pekerja bekerja dari rumah. Pasukan tentera telah ditempatkan di beberapa kawasan, menurut rakaman media tempatan.

Pemandu, pelajar berjaket berwarna-warni dan warga Indonesia dari lapisan masyarakat lain turun ke ibu pejabat parlimen dan polis negara di Jakarta untuk mengadakan bantahan pada Jumaat, sambil membaling batu ke arah pintu pagar dan melaungkan "Pembunuh! Pembunuh!"

Seorang penunggang motosikal, Pendi Nasir, 43 tahun, adalah antara mereka yang menggesa siasatan telus daripada pihak polis berhubung kematian penunggang motosikal Gojek, Affan Kurniawan.

"Kami tidak mahu rakan sekerja kami di sini menjadi mangsa rusuhan ini lagi," katanya kepada Reuters, sambil menyeru tindakan terhadap mereka yang bersalah.

Pelawak tempatan Aci Resti turut menyertai tunjuk perasaan di luar bangunan parlimen bagi menentang elaun perumahan untuk ahli parlimen.

"Saya di sini untuk menyuarakan pendapat rakan-rakan saya, yang sudah muak dengan segala-galanya, dengan ahli-ahli Dewan Rakyat, dengan segala-galanya, dengan pemerintah," katanya.

Para penunjuk perasaan mengabaikan kenyataan sebelum ini oleh Presiden Prabowo Subianto yang menyeru supaya bertenang, mengucapkan takziah atas pemergian Affan Kurniawan dan mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap insiden itu.

"Saya terkejut dan kecewa dengan tindakan berlebihan pegawai polis," kata Encik Prabowo, yang jawatan presidennya menghampiri ulang tahun satu tahun pada Oktober, dalam satu mesej video.

"Saya telah mengarahkan siasatan menyeluruh dan telus ... dan pegawai yang terlibat mesti bertanggungjawab."
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita