AS ugut tahan hakim ICC siasat jenayah perang
Amerika Syarikat (AS) semalam (10 Sep)mengancam untuk menahan dan menghukum hakim serta para pegawai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) jika ia mendakwa mana-mana warga Amerika yang berkhidmat di Afghanistan dengan jenayah perang.

Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, John Bolton. (Gambar: Abir Sultan/AFP)
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam (10 Sep) mengancam untuk menahan dan menghukum hakim serta para pegawai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) jika ia mendakwa mana-mana warga Amerika yang berkhidmat di Afghanistan dengan jenayah perang.
Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, John Bolton menyifatkan badan hak asasi di The Hague itu sebagai "tidak dapat dipertanggungjawab" dan "berbahaya" kepada Amerika Syarikat, Israel dan sekutu-sekutu lain. Beliau berkata sebarang siasatan ke atas anggota perkhidmatan AS akan dianggap sebagai "siasatan yang tidak berasas dan tidak adil".
"Sekiranya mahkamah memburu kami, Israel atau sekutu AS lain, kami tidak akan berdiam diri," kata Encik Bolton.
Menurutnya lagi, AS bersedia untuk menyekat kewangan dan mengenakan tuduhan jenayah ke atas para pegawai mahkamah sekiranya mereka meneruskan tindakan terhadap warga Amerika.
"Kami akan mengharamkan hakim dan pendakwa dari memasuki Amerika Syarikat. Dana mereka dalam sistem kewangan AS akan disekat dan kami mendakwa mereka menggunakan sistem jenayah AS," kata Encik Bolton.
"Kami akan mengambil tindakan yang sama ke atas mana-mana syarikat dan negara yang membantu siasatan ICC terhadap warga Amerika."
Encik Bolton berkata demikian ketika berucap di majlis anjuran Federalist Society, sebuah persatuan guaman yang amat berpengaruh.
Beliau menarik perhatian kepada permohonan pendakwa ICC pada November 2017 untuk membuka siasatan terhadap jenayah perang yang dilakukan pegawai tentera dan perisikan AS di Afghanistan, terutama berhubung penderaan ke atas tahanan.
Menurut Encik Bolton, tidak satu pun pemerintah di dalam perlembagaan ICC mahu pun Afghanistan meminta siasatan dijalankan. ICC tambah beliau secara rasmi boleh membuka siasatan "pada bila-bila masa".
Beliau juga merujuk kepada langkah para pemimpin Palestin untuk mendakwa pegawai-pegawai Israel di ICC atas tuduhan mencabuli hak asasi manusia.
"Amerika Syarikat akan melakukan apa yang perlu untuk melindungi rakyatnya dan sekutu-sekutu kami daripada pendakwaan tidak adil oleh sebuah mahkamah yang haram,"kata Encik Bolton.
"Kami tidak akan bekerjasama dengan ICC, Kami tidak akan memberi bantuan kepada ICC dan tentunya kami tidak akan menyertai ICC. Kami akan biarkan ICC mati dengan sendirinya."
ICC mempertahankan kewujudan badan itu dengan menyatakan bahawa ia mendapat sokongan 123 negara anggota. Bahkan, Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu pada 2005 memintanya menyiasat pembunuhan beramai-ramai di Darfur, Sudan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.