Ugut potong dan bakar kemaluan murid, 2 guru tahfiz ditahan
Tindakan seorang guru tahfiz wanita mencucuh api dan mengugut untuk memotong kemaluan seorang kanak-kanak lelaki membawa padah apabila beliau dan seorang lagi guru lelaki ditahan polis malam semalam(1 Sep).

Gambar fail seseorang digari. (Gambar/TODAY)
KUANTAN: Tindakan seorang guru tahfiz wanita mencucuh api dan mengugut untuk memotong kemaluan seorang kanak-kanak lelaki membawa padah apabila beliau dan seorang lagi guru lelaki ditahan polis malam semalam(1 Sep).
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Noor Yusof Ali berkata kedua-duanya yang berusia 43 dan 42 tahun serta dipanggil 'bonda' dan 'walid', ditahan pada 10.00 malam di Kampung Selamat di Kuantan, selepas polis menerima aduan daripada bapa kanak-kanak berusia lapan tahun berkenaan.
Pengadu yang berusia 25 tahun itu hanya menyedari anaknya diperlakukan sedemikian selepas menonton satu klip video yang tular menerusi aplikasi WhatsApp petang semalam, katanya ketika dihubungi pada Ahad (2 Sep).
Menurut Encik Mohd Noor, klip video sepanjang satu minit 19 saat itu memaparkan guru tersebut menarik kemaluan anak pengadu sebelum diancam untuk dipotong dengan sebilah gunting pemotong rumput serta dicucuh pemetik api.
Malah, dua lagi klip video masing-masing berdurasi 25 saat dan 56 saat, turut memaparkan mangsa dipukul dengan rotan oleh guru wanita dan lelaki tersebut kerana dituduh mencuri makanan.
"Bapa mangsa telah dihubungi suspek yang menerangkan tindakan dilakukan adalah satu proses pembelajaran kerana mendakwa mangsa melakukan kesalahan kencing berdiri, mencuri barang kawan mangsa dan tidak mencuci selepas buang air besar," katanya.
Encik Mohd Noor berkata, pengadu yang berang dan kesal dengan tindakan kedua-dua guru tahfiz berkenaan bertindak membuat aduan polis.
Katanya, difahamkan mangsa sebelum itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Rangin namun dihantar ke sekolah tahfiz berkenaan oleh bapanya setelah didapati kurang menunjukkan minat terhadap pelajaran.
"Mangsa yang mengadu sakit di bahagian punggung telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan bagi tujuan pemeriksaan dan kes kini disiasat menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.