Skip to main content

Dunia

Ucapan ceramah PRU15 tidak berunsur fitnah terhadap Anwar Ibrahim: Muhyiddin Yassin

Mantan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mendakwa ucapannya semasa ceramah ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak berunsur fitnah, sebaliknya adalah komen yang adil.

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mendakwa ucapannya semasa ceramah ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak berunsur fitnah, sebaliknya adalah komen yang adil.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa ucapan tersebut adalah sebahagian daripada kempen politik untuk menyokong seorang calon PRU15 bagi kawasan Parlimen Padang Serai ketika itu.

Dalam pernyataan pembelaan terhadap saman fitnah difailkan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim terhadapnya, Encik Muhyiddin berkata PM Anwar sebagai ketua Kerajaan Perpaduan, pemimpin Pakatan Harapan dan Perdana Menteri tidak harus tersinggung terhadap kritikan dan pertanyaan yang ditimbulkan olehnya semasa ucapan-ucapan politik.

“Plaintif (Anwar) sepatutnya secara terbuka dan sepenuh hati menjawab pertanyaan yang ditimbulkan dan menafikan sebarang dakwaan yang beliau dakwa sebagai palsu,” dakwa Encik Muhyiddin.

Menurut Encik Muhyiddin, beliau dan Encik Anwar adalah tokoh awam dan pemimpin parti yang sering berhadapan dengan dakwaan yang mungkin telah disalah nyata, disalah sebut atau diambil di luar konteks oleh media.

Beliau mendakwa tidak mempunyai pengetahuan atau kawalan mengenai akaun TikTok di bawah nama "@beritakini8", yang memuat naik video ucapan tersebut.

“Keseluruhan ucapan pada ceramah itu telah diterbitkan semula di akaun Facebook saya di bawah nama 'Muhyiddin Yassin'. Saya tidak secara peribadi mengawal atau memuat naik sebarang bahan ke akaun Facebook saya,” dakwanya.

Selain itu, Encik Muhyiddin mendakwa beliau tidak mempunyai sebarang pengurusan, kawalan atau kuasa atas mana-mana penerbitan kenyataan dalam ucapan tersebut yang diterbitkan MalaysiaKini bertajuk “MB’s aide to Muhyiddin: Anwar paid RM1 as S’gor economic adviser”.

Dalam saman tersebut, Encik Anwar, 75 tahun, mendakwa pada 5 Disember lepas, Encik Muhyiddin, Pengerusi PN telah membuat kenyataan fitnah itu dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim sebagai menyokong calon PN,  Azman Nasrudin bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan ratusan pengunjung telah menghadiri ceramah tersebut.

Sehubungan itu, Encik Anwar menuntut Encik Muhyiddin antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi pampasan selain perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita