Skip to main content

Dunia

UAE siasat kemungkinan unsur pengganasan dalam insiden flydubai ke Israel

Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis (1 Okt) mengumumkan siasatan terhadap kemungkinan terdapat unsur pengganasan dalam insiden melibatkan sebuah penerbangan flydubai ke Israel.

Anggaran Waktu Membaca:
UAE siasat kemungkinan unsur pengganasan dalam insiden flydubai ke Israel

Para penumpang menaiki sebuah pesawat flydubai di Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion selepas sebuah penerbangan flydubai dari Amiriah Arab Bersatu ke Israel dilencongkan ke Arab Saudi menyusuli isyarat kecemasan pada 30 September 2026. (Gambar: REUTERS/Ammar Awad)

Diterbitkan : 02 Oct 2026 12:19AM
  • UAE memulakan siasatan selepas insiden penerbangan flydubai ke Israel pada 30 Sep, termasuk kemungkinan unsur pengganasan yang masih belum disahkan.
  • Pembantu juruterbang didakwa menikam juruterbang Smit Machchhar dan cuba menghempas pesawat, sebelum penumpang menyerbu kokpit ketika pesawat menjunam mendadak.
  • Anak kapal lain mengambil alih kawalan dan mendarat cemas di Lapangan Terbang Tabuk, Arab Saudi; semua penumpang selamat dan Machchhar dirawat.
  • Israel akan menyertai siasatan UAE, flydubai menggantung penerbangan ke Israel sementara siasatan berjalan, dalam konteks hubungan diplomatik sejak 2020.
Dijana oleh AI
DUBAI: Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis (1 Okt) mengumumkan siasatan terhadap kemungkinan terdapat unsur pengganasan dalam insiden melibatkan sebuah penerbangan flydubai ke Israel.

Insiden pada Rabu (30 Sep) menyaksikan seorang pembantu juruterbang didakwa menikam juruterbang dan cuba menghempas pesawat tersebut.

Para penumpang kemudian memasuki ruang kokpit dan membantu menumpaskan pembantu juruterbang itu selepas pesawat menjunam secara mendadak.

Pesawat tersebut akhirnya dilencongkan dan melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Tabuk di Arab Saudi.

Ketua Pendakwa Raya UAE berkata siasatan sudah dimulakan terhadap kejadian itu, termasuk kemungkinan terdapat "kegiatan atau niat pengganasan".

Para pegawai Israel sebelum ini menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu "percubaan serangan pengganas".

Namun, flydubai menyatakan punca kejadian masih belum diketahui dan sebelum ini mengingatkan agar spekulasi tidak dibuat terlalu awal.

PENUMPANG BANTU ELAK BENCANA

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata juruterbang flydubai, warga India Smit Machchhar, dan para penumpang membantu mengelakkan bencana.

Menurut Encik Netanyahu, pembantu juruterbang itu menikam juruterbang sebelum didakwa cuba menghempas pesawat.

Para penumpang pula menceritakan bagaimana mereka bergegas memasuki kokpit selepas pesawat tiba-tiba menjunam.

Menurut laman penjejakan penerbangan Flightradar24, pesawat itu kehilangan ketinggian sekitar 17,000 kaki dalam tempoh kira-kira seminit.

Flydubai menyatakan semua penumpang selamat.

Menurut laporan media, 166 daripada 174 penumpang dalam penerbangan tersebut merupakan warga Israel.

Encik Machchhar dirawat di sebuah hospital di Arab Saudi.

Kedutaan India di Arab Saudi mengesahkan beliau menerima rawatan, manakala Perdana Menteri India Narendra Modi memuji tindakannya yang membantu menyelamatkan para penumpang.

Pembantu juruterbang yang didakwa melakukan serangan itu pula disoal siasat di Arab Saudi.

ISRAEL AKAN SERTAI SIASATAN

Encik Netanyahu berkata beliau menjangkakan UAE akan mengetuai siasatan berhubung kejadian tersebut, dengan Israel turut mengambil bahagian.

Menteri Luar Israel Gideon Saar berkata beliau sudah berbincang dengan rakan sejawatannya dari UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan.

Menurut Encik Saar, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama menangani unsur pelampau yang cuba menjejas keselamatan dan kestabilan.

Flydubai pula menggantung penerbangannya ke Israel sementara siasatan dijalankan.

Syarikat penerbangan itu menyatakan anak kapal flydubai lain yang berada dalam penerbangan tersebut mengambil alih pesawat dan mendaratkannya dengan selamat.

Israel dan UAE menjalin hubungan diplomatik menerusi Perjanjian Abraham pada 2020.
Sumber : AFP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita