Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

UAE pinda undang-undang; nasib anak luar nikah masih samar

Lebih 12 wanita belum berkahwin yang dikurung dalam penjara di selatan Dubai pada tahun lalu yang ditahan atas 'jenayah' melahirkan anak luar nikah sudah dibebaskan dari penjara tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
UAE pinda undang-undang; nasib anak luar nikah masih samar

Seorang ibu tunggal bermain dengan anaknya, yang dilahirkan tanpa surat beranak,di Dubai, UAE, pada 24 Nov 2021. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 14 Dec 2021 12:03AM Dikemas Kini : 14 Dec 2021 12:07AM

SHARJAH, Amiriah Arab Bersatu (UAE): Lebih 12 wanita belum berkahwin yang dikurung dalam penjara di selatan Dubai pada tahun lalu yang ditahan atas 'jenayah' melahirkan anak luar nikah sudah dibebaskan dari penjara tersebut.

Insiden itu, digambarkan oleh salah seorang wanita tersebut, sebagai antara tanda-tanda konkrit yang pertama bagi menunjukkan bahawa Amiriah Arab Bersatu (UAE) sudah tidak lagi menganggap seks luar nikah sebagai satu jenayah sedang ia merombak kanun jenayah di negara tersebut.

Namun setahun kemudian, wanita-wanita yang belum berkahwin ini
masih terperangkap dalam keadaan terawang-awang. Mereka masih berusaha untuk mendapatkan surat beranak bagi anak mereka.

Undang-undang baru yang akan berkuat kuasa dalam masa dua minggu lagi masih belum jelas mengenai bagaimana untuk memperolehi sijil kelahiran bagi bayi mereka. Pada masa yang sama, ia menjadikannya sebagai satu jenayah jika seseorang wanita tidak memiliki dokumen sedemikian.

Meskipun mereka belum berkahwin, wanita-wanita ini tidak akan dijatuhi hukuman penjara selepas UAE tidak lagi menjadikannya sebagai satu kesalahan pada Nov 2020.

Sungguhpun demikian, memperolehi surat beranak untuk anak mereka adalah satu proses yang mahal bagi para penduduk miskin - pekerja hijrahan yang membersihkan pejabat, menyediakan makanan dan menjaga anak ibu lain. Jumlah golongan ekspatriat jauh melebihi bilangan penduduk tempatan di UAE.

Sebelum undang-undang dipinda pada tahun lalu, sebilangan wanita sedemikian yang melahirkan bayi mereka di hospital tidak dibenarkan untuk mendapatkan surat beranak, sebaliknya, pihak hospital akan melaporkan mereka kepada pihak polis.

Di UAE, pihak hospital akan mengeluarkan surat beranak hanya kepada pasangan yang sudah bernikah. Tanpa surat beranak, anak-anak mereka tidak dapat menerima jagaan perubatan, bersekolah ataupun melancong. Ibu mereka, yang hilang pekerjaan dan tempat tinggal di bawah undang-undang lama, hidup terkandas.

Jumlah kanak-kanak yang tidak mempunyai surat beranak di UAE tidak diketahui.

Para peguam mengatakan rintangan seumpama itu terbit daripada pemikiran konservatif yang berlarutan dan kurangnya penyelarasan pemerintah.

Bahkan, segelintir wanita itu lebih sanggup menjalani hukuman lalu, khususnya penahanan selama setahun dan pengusiran. Meskipun menggerunkan, ia sekurang-kurangnya menjamin mereka peluang untuk pulang ke tanah air dan dokumen identiti untuk anak-anak mereka.

"Ia hanya menjadi lebih sulit sejak undang-undang dipinda," kata Sitte Honey, seorang ibu berusia 25 tahun. "Mereka tidak akan mengheret anda ke penjara dan tidak akan membenarkan anda melahirkan bayi", ujarnya sambil menarik perhatian bahawa pengguguran juga diharamkan.

"Kami teperangkap," tambahnya.

Di bawah undang-undang baru yang akan berkuat kuasa pada 2 Januari, ibu bapa yang tidak dapat menghasilkan surat beranak anak mereka akan dijatuhi hukuman penjara dua tahun.

Ia bagaimanapun tidak membuat sebarang rujukan tentang pegawai kesihatan mengeluarkan surat beranak kepada ibu-ibu tunggal. Undang-undang itu menuntut agar ibu bapa berkahwin atau memperolehi dokumen perjalanan dan kertas kerja lain untuk membuktikan identiti anak-anak mereka, tanpa memperincikan bagaimana untuk berbuat demikian.

Ini mencetuskan rasa cemas dalam kalangan ibu tunggal yang belum berkahwin kerana khuatir akan hukuman yang bakal dihadapi mereka nanti.  

Sumber : AP/FA/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa