Skip to main content

Dunia

UAE gagalkan serangan 137 peluru berpandu, 209 dron dari Iran

Anggaran Waktu Membaca:
UAE gagalkan serangan 137 peluru berpandu, 209 dron dari Iran
Seorang pengayuh basikal menyaksikan peluru berpandu di ruang udara Dubai semasa serangan balas Iran, yang dicetuskan oleh serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran. (Gambar: AFP)

ABU DHABI: Angkatan tentera udara dan pasukan pertahanan udara Amiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya memintas dan memusnahkan 137 peluru berpandu balistik dan 209 dron yang dilancarkan ke arah wilayah negara itu sejak bermulanya serangan Iran, menurut Kementerian Pertahanannya.

Kementerian itu menyatakan bahawa sejak permulaan serangan, 137 peluru berpandu balistik Iran yang dilancarkan ke arah UAE sudah dikesan, yang 132 daripadanya berjaya dimusnahkan, manakala lima lagi jatuh ke dalam laut, lapor Agensi Berita Amiriah (WAM).

Sebanyak 209 dron Iran turut dikesan, dengan 195 dipintas, manakala 14 jatuh di dalam wilayah dan perairan negara, menyebabkan kerosakan sampingan yang kecil.

Ia menyatakan bahawa, hasil daripada pemintasan berkesan peluru berpandu dan dron tersebut, beberapa serpihan jatuh di kawasan berasingan di seluruh negara, membawa kepada kerosakan kecil pada sebilangan kemudahan awam.

Kementerian itu menegaskan bahawa langkah-langkah perlu sudah diambil bagi menjamin keselamatan penduduk serta mengawal tapak yang terjejas.

Ia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tersebut, dengan mengulangi penolakan mutlak UAE terhadap tindakan sedemikian, yang merupakan peningkatan ketegangan yang serius dan tindakan yang mengancam keselamatan orang awam serta menggugat kestabilan.

Kementerian itu turut menekankan bahawa tindakan sedemikian merupakan pelanggaran nyata terhadap kedaulatan negara dan undang-undang antarabangsa, dan UAE mempunyai hak sepenuhnya untuk membalas peningkatan ketegangan ini serta mengambil semua langkah perlu bagi melindungi wilayah, rakyat dan penduduknya.

Kementerian tersebut mengesahkan bahawa ia kekal dalam kesiapsiagaan tinggi dan bersedia sepenuhnya untuk menangani sebarang ancaman, dengan mengambil semua tindakan perlu bagi menghadapi sebarang cubaan untuk menggugat keselamatan dan kestabilan negara dengan tegas.

Ia menegaskan bahawa keselamatan rakyat, penduduk dan pelawat adalah keutamaan tertinggi yang tidak boleh dikompromi.

Kementerian itu juga menggesa orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi di negara itu dan mengelak daripada menyebarkan khabar angin atau maklumat yang tidak disahkan.

Sumber : Bernama/IM/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita