Skip to main content

Dunia

UAE dakwa pembantu juruterbang flydubai serang juruterbang dengan kapak dalam cubaan serangan pengganas

Pembantu juruterbang penerbangan flydubai FZ1073 yang menuju ke Israel cuba melakukan tindakan pengganasan semasa penerbangan itu, menurut Peguam Negara Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada Sabtu (3 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
UAE dakwa pembantu juruterbang flydubai serang juruterbang dengan kapak dalam cubaan serangan pengganas

Sebuah pesawat flydubai yang membawa penumpang daripada penerbangan yang membuat pendaratan kecemasan di Arab Saudi, menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion, dekat Tel Aviv, Israel, pada 30 September 2026. (Gambar fail: AP/Ohad Zwigenberg)

Diterbitkan : 03 Oct 2026 05:09PM
UAE says flydubai co-pilot attacked pilot with an axe in an attempted terrorist attack
  • UAE Attorney General Hamad Saif Al Shamsi said flydubai co-pilot of flight FZ1073 tried to carry out a terrorist act on a flight from the UAE to Israel on Wednesday.
  • According to the investigation, the suspect attacked the pilot with an emergency axe in the cockpit and tried to take control of the aircraft before being restrained by passengers and crew.
  • A flydubai relief pilot then landed the aircraft at Tabuk Airport in Saudi Arabia, and the suspect was detained by the Saudi authorities.
  • The UAE is leading the investigation, with the participation of Israeli investigators, examining the motive, possible links to other parties, and physical and digital evidence, while flydubai has not commented further.
Dijana oleh AI
DUBAI: Pembantu juruterbang penerbangan flydubai FZ1073 yang menuju ke Israel cuba melakukan tindakan pengganasan semasa penerbangan itu, menurut Peguam Negara Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada Sabtu (3 Okt).

Peguam Negara UAE Hamad Saif Al Shamsi berkata siasatan mendapati pembantu juruterbang itu menyerang juruterbang di dalam kokpit dengan kapak kecemasan sebelum cuba mengambil alih pesawat.

Kapak kecemasan lazimnya disimpan di dalam kokpit untuk digunakan ketika berlaku kecemasan seperti nahas.

Kenyataan itu merupakan kali pertama pihak berkuasa UAE menyifatkan insiden tersebut sebagai satu cubaan serangan pengganas.

Siasatan masih dijalankan bagi menentukan keadaan yang membawa kepada kejadian itu, motif serta sebarang kaitan dengan pihak lain.

Bukti fizikal dan digital turut diperiksa.

UAE mengetuai siasatan tersebut.
Pada Khamis (1 Okt), UAE mengumumkan siasatan bagi menentukan sama ada insiden itu mempunyai kaitan dengan kegiatan atau tujuan pengganasan serta sama ada ia dirancang atau dilakukan atas arahan pihak lain.

PENUMPANG, KRU BANTU KAWAL PEMBANTU JURUTERBANG

Insiden pada Rabu (30 Sep) dapat dikawal selepas para penumpang dan kru menahan pembantu juruterbang tersebut.

Seorang juruterbang simpanan flydubai yang berada dalam penerbangan itu kemudian mengambil alih pesawat dan mendaratkannya di Lapangan Terbang Tabuk di Arab Saudi.

Pembantu juruterbang itu kemudian ditahan pihak berkuasa Arab Saudi.

Lebih 170 penumpang dan kru berada di dalam pesawat tersebut, dengan kebanyakan penumpangnya warga Israel.

Juruterbang dan pembantu juruterbang itu meninggalkan Arab Saudi menuju ke Abu Dhabi pada Khamis selepas mendapat kebenaran perubatan.

Flydubai menyatakan keadaan sekitar insiden itu masih dalam siasatan dan syarikat penerbangan tersebut belum dapat memberikan ulasan lanjut.

Seorang pegawai pemerintah Israel menyatakan penyiasat Israel akan turut serta dalam siasatan yang diketuai UAE bagi menentukan apa yang berlaku serta meneliti motif dan latar belakang suspek.

Data penjejakan penerbangan Flightradar24 menunjukkan pesawat itu menjunam kira-kira 16,625 kaki dalam tempoh lebih 30 saat ketika melalui ruang udara Arab Saudi dalam perjalanan dari UAE ke Israel.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita