Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Twitter bubar Majlis Amanah & Keselamatan, bukan lagi 'struktur terbaik' untuk membangunkan produk

Anggaran Waktu Membaca:
Twitter bubar Majlis Amanah & Keselamatan, bukan lagi 'struktur terbaik' untuk membangunkan produk

Ibu pejabat Twitter di San Francisco, California (Gambar: David Odisho/Getty Images/AFP)

ANKARA: Di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif baru Elon Musk, Twitter membubarkan Majlis Amanah dan Keselamatannya lewat Isnin (12 Dis), Agensi Anadolu memetik laporan media.

Ahli badan itu dimaklumkan dalam e-mel bahawa majlis itu bukan lagi "struktur terbaik" untuk membawa idea luaran dalam pembangunan produk dan dasar kerja Twitter, lapor Washington Post.

E-mel tersebut diterima sejurus sebelum ahli majlis dijadual mengadakan pertemuan video dengan wakil Twitter untuk membincangkan perkembangan terkini, menurut laporan itu, memetik sumber yang biasa dengan isu berkenaan dan tidak mahu namanya disiarkan.

"Kami berterima kasih atas pelibatan, nasihat dan kerjasama anda dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan mendoakan kejayaan anda pada masa hadapan," menurut e-mel itu.

Twitter membentuk kumpulan penasihat itu pada 2016 untuk menjadikan platform tersebut lebih selamat dan menangani ucapan kebencian, eksploitasi kanak-kanak, bunuh diri, cederakan diri dan masalah lain.

Ia terdiri daripada kira-kira 100 ahli sivil bebas, hak asasi manusia, dan organisasi lain.

Pemilikan Twitter oleh Encik Musk, yang kini memasuki bulan pertamanya, mencetuskan keadaan kucar-kacir meluas dalam syarikat itu susuli tindakannya yang ingin menjadikan platform media sosial itu entiti yang menguntungkan melalui pemberhentian besar-besaran pekerja serta memperkenalkan dasar yang ditentang secara meluas di peringkat dalaman.

Sumber : Agensi berita/Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan