Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Turkiye tarik balik veto untuk Finland, Sweden sertai NATO

Anggaran Waktu Membaca:
Turkiye tarik balik veto untuk Finland, Sweden sertai NATO

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 29 Jun 2022 02:51PM Dikemas Kini : 29 Jun 2022 02:51PM

MADRID: Rakan sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Turkiye, pada Selasa (28 Jun) menarik balik kuasa vetonya membantah penyertaan Finland dan Sweden ke dalam perikatan Barat itu. 

Ini setelah ketiga-tiga negara itu bersetuju untuk mempertahankan keselamatan satu sama lain, sekali gus menamatkan drama sepanjang beberapa minggu yang menguji perpaduan perikatan itu terhadap pencerobohan Rusia di Ukraine. 

Keputusan ini dibuat selepas mesyuarat selama empat jam yang diadakan menjelang sidang kemuncak NATO di Madrid.

Ia mengelakkan kebuntuan yang memalukan di perhimpunan melibatkan 30 pemimpin itu, yang bertujuan untuk memuktamadkan huraian mereka terhadap Rusia.

Perikatan yang diterajui Amerika Syarikat (AS) itu kini menganggap Rusia sebagai satu ancaman keselamatan langsung dan bukan lagi seteru berpotensi. 

Keputusan itu bermakna Helsinki dan Stockholm boleh meneruskan dengan permohonan masing-masing untuk menyertai perikatan yang bersenjatakan nuklear itu. Ini lantas mengukuhkan lagi apa yang dijangka bakal menjadi anjakan terbesar dalam keselamatan Eropah dalam beberapa dekad sedang kedua-dua negara Nordik yang telah sekian lama berkecuali itu mencari perlindungan NATO.

"Menteri-menteri luar kami sudahpun memeterai memorandum tiga hala yang mengesahkan Turkiye akan menyokong pelawaan Finland dan Sweden untuk menjadi negara anggota NATO," kata Presiden Finland Niinisto dalam satu kenyataan. 

Langkah seterusnya bagi Finland dan Sweden untuk menyertai NATO akan dipersetujui dalam masa dua hari akan datang, kata Encik Niinisto. 

Setiausaha Agung NATO Jens Stolternberg dan pejabat Presiden Turkiye mengesahkan perjanjian itu menerusi kenyataan berasingan berikutan perbincangan antara ketua NATO, Presiden Turkiye Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Sweden Magdalena Andersson dengan Encik Niinisto. 

Encik Stoltenberg berkata 30 pemimpin NATO kini ingin mempelawa Finland, yang berkongsi sempadan sepanjang 1,300 kilometer bersama Rusia, serta Sweden untuk menyertai NATO dan bahawa mereka akan menjadi "jemputan" rasmi. 

"Pintu sudah dibuka - penyertaan Finland dan Sweden ke dalam NATO akan berlaku," beliau memberitahu wartawan. 

Namun, meskipun undangan rasmi sudah diberikan, 30 parlimen bersekutu NATO perlu mengesahkan keputusan tersebut melalui para pemimpin dan proses itu boleh mengambil masa sehingga setahun. 

Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa