Skip to main content

Dunia

Turki salur makanan, bekalan perubatan kepada Global Sumud Flotilla

Anggaran Waktu Membaca:
Turki salur makanan, bekalan perubatan kepada Global Sumud Flotilla

Enam kapal dari Greece yang membawa puluhan aktivis memulakan pelayaran pada 19 September 2025 di Laut Aegean bagi menyertai Global Sumud Flotilla. (Gambar fail: AP)

Diterbitkan : 30 Sep 2025 01:24PM Dikemas Kini : 30 Sep 2025 01:26PM
ISTANBUL: Bulan Sabit Merah Turki pada Isnin (29 Sep) menyalurkan makanan dan bekalan perubatan kepada Flotila Bantuan Kemanusiaan Global Sumud yang dalam pelayaran menghantar bantuan ke Carikan Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Bantuan itu diserahkan kepada sekitar 50 kapal flotila, yang kini meneruskan pelayaran di Laut Mediterranean antara Crete, pulau Cyprus dan Mesir.

Awal dari itu pada Isnin (30 Sep), Turki turut menyelaras pemindahan penumpang dari kapal flotila Johnny M selepas ia menghantar isyarat kecemasan akibat dimasuki air.

Kapten kapal berkenaan, Bernard Pierre Laguna dari Perancis menyuarakan harapan agar mereka yang dalam perjalanan ke Gaza dapat tiba dengan selamat.

“Air mula menenggelamkan kapal, kami hilang kawalan dan semua yang berada di atas kapal perlu dipindahkan. Saya kapten bersama 12 orang penumpang dan kami semua berjaya dipindahkan ke kapal lain.

“Saya sudah berusaha sedaya upaya untuk sampai ke Gaza, tetapi tidak kesampaian; kapal hampir karam. Saya akan pulang sekarang, namun berharap semua yang meneruskan perjalanan ke Gaza selamat tiba,” katanya kepada Anadolu.

Seorang aktivis flotila, Yasemin Acar pula menegaskan tujuan mereka hanya satu iaitu sampai ke Gaza.

“Cuaca buruk, kami dibom dan beberapa kali dihalang, namun semangat tetap tinggi.

“Kami masih berada di sini kerana semua sedar Gaza memerlukan bantuan ini, dan kami tidak akan berputus asa.

“Kami akan terus mara. Ketika ini terdapat lebih 40 kapal dengan ratusan aktivis dari seluruh dunia. Terus menuju Gaza dengan penuh semangat,” katanya.

Cik Yasemin berkata mereka memerlukan kira-kira tiga hari lagi untuk tiba di Gaza dan sepanjang perjalanan menerima pelbagai ancaman daripada Israel.

“Kenapa Israel mahu halang flotila ini? Kami bawa bantuan kemanusiaan, bukan senjata.

“Kami bukan ancaman, sebaliknya Israel yang menjadi bahaya, bukan sahaja kepada Gaza tetapi juga dunia.

“Mereka takut kerana melihat sokongan yang begitu ramai dan kerana kami berjaya menggerakkan dunia,” katanya lagi.

Bulan Sabit Merah Turki bersama pihak berkuasa lain turut menggerakkan operasi pemindahan penumpang dari kapal yang bermasalah, yang membawa warga dari Luxembourg, Perancis, Finland, Mexico dan Malaysia.

Dalam satu kenyataan di Instagram, flotila berkenaan menekankan operasi pemindahan berjalan lancar hasil koordinasi pantas pemerintah Turki dan sokongan Bulan Sabit Merah Turki sepanjang proses itu.

Global Sumud Flotilla, melibatkan puluhan kapal sudah berlayar menuju Gaza selama beberapa hari dengan membawa muatan besar bantuan kemanusiaan khususnya bekalan perubatan, menjadikannya flotila terbesar yang pernah belayar ke Gaza setakat ini.
 
Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita