Turki lancar buku sejarah hubungan Empayar Uthmaniyah dengan Asia Tenggara
Turki mengukuhkan komitmennya terhadap naratif sejarah dan budaya Asia Tenggara dengan pelancaran buku berjudul 'Kajian mengenai Hubungan antara Empayar Uthmaniyah dan Asia Tenggara' atau 'Studies on the Relations Between the Ottoman Empire and Southeast Asia'.
![Turki lancar buku sejarah hubungan Empayar Uthmaniyah dengan Asia Tenggara Turki lancar buku sejarah hubungan Empayar Uthmaniyah dengan Asia Tenggara](https://dam.mediacorp.sg/image/upload/s--nZNLOjSC--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/mediacorp/berita/images/2024/12/05/turki_book.jpg?itok=Qi5w3DRb)
(Gambar: BERNAMA)
Buku yang diterbitkan di bawah naungan Presiden Turki untuk rakyat Turki di Luar Negara dan Komuniti Berkaitan (YTB) mendedahkan hubungan selama berabad yang berakar umbi dalam bidang perdagangan, agama dan diplomasi - mengubah pandangan terhadap hubungan rantau itu dengan Empayar Uthmaniyah.
Duta Besar Turki ke Malaysia Emir Salim Yuksel memuji penerbitan buku itu sebagai satu pencapaian penting dalam memahami ikatan sejarah Turki dengan Asia Tenggara, dengan Malaysia memegang peranan yang unik dalam warisan bersama ini.
"Buku itu menawarkan penerokaan yang luar biasa mengenai hubungan sejarah, budaya dan politik antara Empayar Uthmaniyah dan Asia Tenggara."
"Walaupun jarak fizikal antara Turki dan rantau ini, ikatan kerohanian yang mendalam sentiasa wujud. Hubungan berharga ini, yang diperkaya melalui nilai bersama, terus memberi inspirasi kepada kerjasama dan persahabatan."
Encik Yuksel berkata demikian ketika berucap di hadapan para diplomat, ahli akademik dan golongan profesional yang hadir semasa pelancaran buku itu yang diadakan di Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pada Rabu (4 Dis).
Encik Yuksel turut menekankan tumpuan strategik Turki terhadap Asia, dengan menyifatkannya sebagai kawasan yang penuh dengan potensi untuk menjalin kerjasama yang lebih mendalam.
Beliau merujuk kepada Inisiatif Baharu Asia yang dilancarkan pada 2019, sebagai bukti visi Turki untuk memperkukuh hubungan politik, ekonomi dan budaya dengan negara di Asia.
Buku itu menghimpunkan artikel menarik daripada sarjana di Turkiye dan Asia Tenggara, yang mengetengahkan pandangan mengenai dinamik politik, budaya dan kesusasteraan yang pernah menghubungkan Empayar Uthmaniyyah dengan rantau ini.
Ia juga mengkaji tokoh terkemuka dan rekod sejarah yang menghubungkan kedua-dua wilayah itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.