Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Turki berkas 15 individu atas kaitan dengan ISIS; tiada bukti kukuh serangan pengganas akan dilancar

Anggaran Waktu Membaca:
ISTANBUL: Polis Turki memberkas 15 individu kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas ISIS, menurut agensi berita rasmi Turki pada lewat Sabtu (4 Feb), beberapa hari selepas amaran keselamatan dikeluarkan oleh konsulat-konsulat Barat.

Agensi berita Anadolu yang memetik kenyataan polis Istanbul melaporkan bahawa kumpulan itu ditahan kerana dipercayai merancang serangan terhadap Konsulat Sweden dan Belanda di Istanbul serta gereja dan rumah ibadat kaum Yahudi.

Sungguhpun demikian, pihak polis belum lagi dapat mengenal pasti sebarang "ancaman konkrit" terhadap lokasi-lokasi yang disebutkan itu.

Berdasarkan maklumat risikan, kumpulan itu mungkin mendapat arahan daripada sekutu ISIS, iaitu ISIS Wilayah Khorasan yang aktif di Asia Selatan dan Asia Tengah.

Sweden dan Belanda menjadi subjek bantahan di Turki selepas seorang aktivis anti-Islam membakar Al-Quran di Stockholm dan perkara serupa berlaku di The Hague di Belanda.

Minggu ini, sekumpulan negara Barat menutup konsulat masing-masing di Istanbul buat sementara waktu atas sebab-sebab keselamatan.

Para pegawai pemerintah Turki menuduh mereka gagal berkongsi maklumat mengenai ancaman keselamatan itu sehingga menyebabkan konsulat-konsulat tersebut ditutup dan membahayakan keselamatan rakyat Turki.

Pada November lalu, letupan bom di Istiklal Avenue, yang terletak di tengah-tengah kawasan sibuk di Istanbul dan berdekatan beberapa konsulat di sana, meragut nyawa enam individu dan mencederakan beberapa individu lain.

Pihak berkuasa Turki menyalahkan kumpulan militan Kurdi atas serangan itu.

Tuduhan berkenaan bagaimanapun telah disangkal oleh kumpulan tersebut.
Sumber : AP/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan