Skip to main content

Dunia

Turki akan terus tingkatkan tekanan ke atas Israel, kata Erdogan

Anggaran Waktu Membaca:
Turki akan terus tingkatkan tekanan ke atas Israel, kata Erdogan

(Gambar: AFP PHOTO / TURKISH PRESIDENTIAL PRESS SERVICE)

ANKARA: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan memberitahu Presiden Palestin Mahmoud Abbas bahawa Turki akan terus menyokong perjuangan Palestin dan mendorong masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan tekanan ke atas Israel.

Dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu, Encik Erdogan dan Encik Mahmoud membincangkan perkembangan terkini dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk memeterai gencatan senjata berkekalan dan memulihkan keamanan di Gaza, menurut Pejabat Presiden Turki dalam catatan di X.

Encik Erdogan mengecam perang Israel di Gaza, menurut kenyataan itu sambil menuduh beberapa negara Barat berdiam diri dan terus menyokong Israel, lapor Astro Awani.

Beliau turut memberitahu Encik Mahmoud bahawa semua negara terutama dunia Islam harus meningkatkan usaha bagi memastikan gencatan senjata segera dimeterai di Gaza dan memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa gangguan kepada rakyat Palestin.

Encik Mahmod berkunjung ke Turki untuk mengadakan pertemuan dengan Encik Erdogan dan beliau akan berucap pada sesi luar biasa Parlimen negara itu hari ini (16 Ogos).

Serangan Israel ke atas Gaza bermula selepas Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu.

Susulan itu, Israel melancarkan serangan bertalu-talu sehingga mengorbankan lebih 30,000 nyawa rakyat Palestin.

Kekejaman Israel mencetuskan kemarahan seluruh dunia.

Turki juga pada masa yang sama telah mengecam perang dan menghentikan semua perdagangan dengan Israel.

Menurut laporan Astro Awani, negara itu turut mengemukakan permintaan untuk menyertai kes Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Undangan Turki kepada Encik Mahmoud dibuat selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berucap di Kongres Amerika Syarikat pada 25 Julai lalu yang dikutuk oleh Ankara.

"Kami akan menunjukkan bahawa Presiden Mahmoud mempunyai hak untuk berucap di Parlimen kami sama seperti Netanyahu mempunyai hak untuk berucap di Kongres Amerika," kata Encik Erdogan kepada para anggota Parti AK yang memerintah Turki pada Rabu sebelum bertemu Encik Mahmoud.

Encik Erdogan yang selama ini menjadi penyokong tegar Hamas berkata, Turki juga sebelum ini telah merancang untuk mengundang pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Tehran, Iran.
 
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita