Tuntutan peluru berpandu Amerika halang rundingan nuklear, kata pegawai kanan Iran
Laluan bagi rundingan nuklear antara Iran dan Amerika Syarikat belum tertutup, namun tuntutan Washington untuk menghadkan peluru berpandu Iran menghalang prospek perbincangan, kata seorang pegawai kanan Iran pada Selasa (2 Sep).
Presiden Iran Masoud Pezeshkian menghadiri Sidang Puncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025 di Tianjin, China, pada 1 September 2025. Gambar: REUTERS/Laman Web Presiden Iran/WANA/Handout)
Pusingan keenam perbincangan Iran-Amerika Syarikat digantung berikutan perang selama 12 hari pada Jun lalu, apabila Israel dan Amerika Syarikat menyerang kemudahan nuklear Iran dan Tehran membalas serangan dengan melancarkan peluru berpandu balistik ke arah Israel.
“Kami memang mengutamakan rundingan rasional. Dengan mengemukakan isu yang mustahil untuk direalisasikan seperti sekatan peluru berpandu, mereka menetapkan haluan yang menolak sebarang rundingan,” kata Ali Larijani, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, dalam catatannya di X.
KEBIMBANGAN BARAT, PENAFIAN IRAN
Negara-negara Barat bimbang program pengayaan uranium Iran boleh menghasilkan bahan bagi kepala peledak nuklear, dan bahawa negara tersebut berusaha untuk membangunkan peluru berpandu yang mampu membawa peledak tersebut.
Namun, Iran menafikan tuduhan itu, sambil menegaskan bahawa program nuklearnya adalah untuk tujuan tenaga awam. Negara tersebut juga menegaskan bahawa keupayaan pertahanannya, termasuk peluru berpandu, tidak boleh dirundingkan.
TEKANAN EROPAH
Kenyataan Encik Larijani itu dibuat beberapa hari selepas Perancis, Jerman dan Britain mengaktifkan “mekanisme 'snapback'” yang boleh mengenakan semula sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Tehran berhubung kegiatan nuklearnya.
Tiga kuasa Eropah itu, yang dikenali sebagai E3, menggesa Iran supaya mendekati Amerika Syarikat semula bagi mengadakan rundingan nuklear baharu, di samping memenuhi syarat-syarat lain untuk menangguhkan proses sekatan tersebut sehingga enam bulan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.