Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tunku Abdul Aziz gesa Mukhriz mengaku tiada niat jadi PM

Mantan Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sepatutnya membuat pengakuan bersumpah jika dakwaan berhubung perjanjian sulit antara bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Penasihat DAP Lim Kit Siang, tidak benar.

Anggaran Waktu Membaca:
Tunku Abdul Aziz gesa Mukhriz mengaku tiada niat jadi PM

Gambar: Tunku Abdul Aziz/Facebook

Diterbitkan : 07 Mar 2018 09:27AM Dikemas Kini : 07 Mar 2018 09:34AM

KUALA LUMPUR: Mantan Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sepatutnya membuat pengakuan bersumpah jika dakwaan berhubung perjanjian sulit antara bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Penasihat DAP Lim Kit Siang, tidak benar.

Tunku Abdul Aziz, 84, yang menyambung keterangannya semalam (6 Mac) berkata bahawa beliau pernah menggesa mantan Menteri Besar Kedah itu dan Encik Lim untuk membuat pengakuan bersumpah jika dakawaan itu tidak benar. Gesaan tersebut dikeluarkan dalam kenyataan media keduanya yang bertarikh 30 Januari 2017.

“Kalau itu (perjanjian sulit) tidak betul, kenapa nak peduli? Mukhriz kena buat pengakuan bersumpah dan cakap semua itu tidak betul kepada orang ramai,” katanya.

Tunku Abdul Aziz berkata demikian dalam perbicaraan kes saman yang difailkan Datuk Seri Mukhriz terhadapnya atas dakwaan mengeluarkan kenyataan bahawa Datuk Seri Mukhriz dijanjikan jawatan perdana menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14.

Sementara itu, Tunku Abdul Aziz, dalam pernyataan saksinya berkata bahawa kegagalan Datuk Seri Mukhriz dan Encik Lim membuat pengakuan bersumpah seperti yang dicadangkan mengukuhkan lagi sumber yang diperolehi berhubung perjanjian itu adalah benar.

Tunku Abdul Aziz, yang juga defendan dalam kes saman itu selanjutnya berkata bahawa Datuk Seri Mukhriz tidak memberi penjelasan dan maklum balas kepada perkara yang dibangkitkannya mengenai perjanjian sulit antara Dr Mahathir dengan Encik Lim.

“Mukhriz telah memfitnah saya sebagai cuba untuk mengelirukan rakyat tentang tujuan sebenar parti pembangkang, namun saya tidaklah mengambil apa-apa tindakan undang-undang terhadapnya kerana saya tahu dan percaya bahawa rakyat yang peka akan perjalanan politik tahu bahawa tuduhan seperti ini adalah sebahagian daripada permainan politik,” katanya.

Aktivis politik itu turut menjelaskan bahawa beliau mengeluarkan kenyataan kedua itu bagi mencadangkan jalan keluar kepada Datuk Seri Mukhriz dan Encik Lim untuk membuat surat pengakuan bahawa mereka tiada niat untuk jawatan perdana menteri.

“Dengan ini, mungkin dapat meredakan kerisauan rakyat terutamanya pengundi Melayu mengenai Lim yang bakal dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan memenangi pilihan raya umum ke-14,” katanya.

Selepas sesi pemeriksaan semula itu, peguam Jahaberdeen memaklumkan bahawa pihak defendan sudahpun menutup kesnya.

Hakim Datuk Nordin Hassan menetapkan tarikh 13 April untuk mendengar hujah kedua-dua pihak. Datuk Seri Mukhriz diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Pada 7 Feb 2017, Datuk Seri Mukhriz yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam, Kedah memfailkan saman dengan mendakwa pada 30 Disember 2016, bahawa defendan mengeluarkan satu kenyataan bertajuk ‘Memang Wujud Pakatan Sulit antara Tun Mahathir dan Kit Siang’ yang dilaporkan dalam blog AIDCNews.

Beliau mendakwa, pada 1 Jan 2017, pihaknya ada membuat penafian secara terbuka dan mengemukakan notis tuntutan meminta defendan membuktikan kenyataan fitnah itu dan sekiranya gagal, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap defendan.

Bagaimanapun, pada 3 Jan 2017, defendan ada menerbitkan atau menyebabkan terbit satu lagi kenyataan media bertajuk ‘Tunku Abdul Aziz gesa Mukhriz, Kit Siang buat pengakuan bersumpah’. 

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan