Skip to main content

Dunia

Tunjuk perasaan pekerja 'Ojek' di Indonesia dapat sambutan hambar

Anggaran Waktu Membaca:
Tunjuk perasaan pekerja 'Ojek' di Indonesia dapat sambutan hambar

Puluhan pekerja ojek adakan tunjuk perasaan di hadapan bangunan Parlimen Indonesia di Jakarta pada 17 Sep 2025. (Gambar: CNA/Ridhwan Siregar)

Diterbitkan : 17 Sep 2025 08:32PM Dikemas Kini : 17 Sep 2025 08:33PM
JAKARTA: Satu tunjuk perasaan di Indonesia pada Rabu (17 Sep) yang diuar-uarkan akan melibatkan sehingga 5,000 penunggang motosikal khidmat penghantaran atau 'ojek' nampaknya gagal, selepas hanya kira-kira 100 orang hadir bagi tunjuk perasaan itu di tengah-tengah cuaca hujan di ibu kota negara itu.

Sementara itu, di Istana Presiden, iaitu salah satu tapak di mana dijangka berlaku tunjuk perasaan - dua menteri, dan beberapa timbalan dilantik dan mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet Presiden Prabowo Subianto.

Perhimpunan pada Rabu itu disifatkan sebagai tunjuk perasaan besar-besaran pertama diadakan di jalanan sejak Presiden Prabowo merombak Kabinet pada 8 September lalu untuk meredakan kemarahan awam berhubung keistimewaan yang diterima oleh penggubal undang-undang, keganasan polis dan isu sara hidup.

Ia dianjurkan sebahagiannya oleh sebuah Pertubuhan Ojol yang bernama Garda Indonesia dan ia bertujuan menuntut peletakan jawatan Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi serta keadaan pekerjaan lebih baik dan pengiktirafan bagi pekerja gig dalam negara itu.

Pengerusi Garda Raden Igun Wicaksono sebelum ini memberitahu Mediacorp pada Selasa bahawa bantahan itu akan diadakan di hadapan bangunan Parlimen Indonesia, Istana Presiden dan pejabat Kementerian Pengangkutan.

Namun situasi pada Rabu jauh berbeza berbanding tunjuk perasaan ganas yang menggegarkan Indonesia pada bulan lalu.

Mediacorp hadir di salah satu tapak bantahan di Jakarta iaitu di bangunan Parlimen Indonesia pada pukul 2.00 petang waktu tempatan, dan hanya sejumlah tunjuk perasaan yang dikenal pasti menerusi seragam hijau dari firma Gojek dan Grab yang hadir.

Kira-kira dua jam kemudian, beberapa penunjuk perasaan mula beredar di tengah-tengah bilangan kakitangan keselamatan yang berkurangan.

DUA MENTERI BAHARU DILANTIK DI TENGAH-TENGAH TUNJUK PERASAAN KURANG BERSEMANGAT

Media tempatan di Indonesia sebelum ini melaporkan bahawa para pekerja ojek itu, secara berkonvoi, akan berkumpul di ibu pejabat Garda Indonesia sebelum berarak ke Istana Presiden, kompleks Kementerian Pengangkutan dan bangunan parlimen.
Imej komposit Menteri Sukan baharu dilantik Erick Thohir (kiri) tiba di Istana Presiden dan Menteri Koordinator Politik dan dan Keamanan Djamari Chaniago (kanan) bercakap kepada wartawan.
Namun sebaliknya, Istana Presiden menyaksikan anggota Kabinet Prabowo berpakaian rasmi bagi menghadiri majlis perasmian dua menteri baharu yang mengangkat sumpah pada kira-kira pukul 3.00 petang waktu tempatan.

Djamari Chaniago dilantik sebagai Menteri Penyelaras Politik dan Keamanan manakala Erick Thohir dilantik sebagai menteri sukan negara.

Kedua-dua jawatan itu dibiarkan kosong apabila Presiden Prabowo merombak Kabinetnya pada 8 September lalu menyusuli tunjuk perasaan ganas pada bulan lalu.

KEHADIRAN POLIS

Menjelang perhimpunan yang dijangka berlaku pada Rabu, Polis Metropolitan Jakarta Pusat dilaporkan mengerahkan kira-kira 6,200 kakitangan dari pasukan tentera, polis negara dan pentadbiran Jakarta bagi menjaga ketenteraman dan mengelak berlakunya bantahan maut seperti pada bulan lalu.

Para pegawai ditempatkan di sekitar kompleks Parlimen dan kawasan Monumen Nasional, menurut Jakarta Globe.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita