Tunjuk perasaan jejas lebih 730 sekolah di Perancis, perhimpunan baharu digesa
Para pelajar sekolah menengah di Perancis membakar beberapa objek dan membaling barangan ke arah polis pada Jumaat (2 Okt), yang kemudian bertindak melepaskan gas pemedih mata, sedang para aktivis menggesa perhimpunan baharu diadakan dalam gerakan tunjuk perasaan yang semakin memuncak bagi menuntut keadaan pendidikan yang lebih baik.
Seorang penunjuk perasaan mencampak papan tanda berhenti ke dalam api sedang para pelajar menghalang laluan berhampiran Sekolah Menengah Kerichen di Brest, barat Perancis, pada 2 Oktober 2026. (Gambar: AFP/Fred Tanneau)
- Lycée students in France have continued protests since September, demanding better education conditions such as more reasonable school hours, suitable classrooms and sufficient staff.
- On Friday, Oct 2, the protests spread to many cities including Paris, Brest and Toulouse, with arson, objects thrown, tear gas and 1,747 arrests.
- Minister for Education Edouard Geffray said 735 of 3,700 schools were affected, while promising a plan to speed up the replacement of absent teachers.
- The Government condemned the violence and accused LFI of influencing the movement, while activists and student unions called for a new rally on Tuesday.
- Pelajar lycee di Perancis meneruskan protes sejak September, menuntut keadaan pendidikan lebih baik seperti waktu sekolah lebih wajar, bilik darjah sesuai dan kakitangan mencukupi.
- Pada Jumaat, 2 Oktober, protes merebak di banyak bandar termasuk Paris, Brest dan Toulouse, dengan pembakaran, balingan objek, gas pemedih mata serta 1,747 tangkapan.
- Menteri Pendidikan Edouard Geffray berkata 735 daripada 3,700 sekolah terjejas, sambil menjanjikan pelan mempercepat penggantian guru yang tidak hadir.
- Pemerintah mengecam keganasan dan menuduh LFI mempengaruhi gerakan itu, manakala aktivis serta kesatuan pelajar menggesa perhimpunan baharu pada Selasa.
Pemerintah menyatakan para pelajar berusia pertengahan hingga lewat belasan tahun yang belajar di lycee (sekolah menengah atas) mempunyai hak untuk menyuarakan rasa tidak puas hati, namun mengecam keganasan, termasuk kejadian di mana seorang anggota polis dikejar, ditendang dan dipukul sekumpulan belia.
Di La Ciotat di selatan Perancis, seorang guru disimbah petrol sebelum diserang secara fizikal oleh dua orang individu, menurut para pegawai.
Seorang pemuda yang cedera di Tours pula hilang daya penglihatan pada mata kanannya, menurut pendakwa bandar tersebut pada Jumaat. Beliau cedera pada Rabu ketika para pelajar bertempur dengan polis, menurut pihak berkuasa tempatan.
Pada Jumaat, kesatuan dan kumpulan pelajar menggesa para penunjuk perasaan supaya terus memberi tekanan kepada pemerintah dan mengadakan perhimpunan baharu pada Selasa.
"Para pelajar sekolah menengah mengharapkan langkah-langkah konkrit daripada pemerintah ini dan setakat ini kami masih belum menerimanya," kata ketua kesatuan pelajar sekolah menengah USL, Ryad Rani.
Gerakan yang bermula di wilayah Paris pada September sebelum merebak ke seluruh negara itu menyaksikan para pelajar remaja di 'lycee' yang berada dalam tahun-tahun terakhir persekolahan menyekat akses ke bangunan sekolah dan bertempur dengan polis.
Para pelajar berkata waktu persekolahan mereka terlalu panjang, keadaan pembelajaran tidak memadai termasuk bilik darjah yang terlalu panas, di samping keadaan di mana terlalu ramai kakitangan tidak hadir untuk bertugas.
Tunjuk perasaan itu turut memberi kesan terhadap suasana politik, tujuh bulan sebelum para pengundi memilih pengganti Presiden Emmanuel Macron.
Daripada 3,700 sekolah di seluruh negara, 735 terjejas "dalam satu cara atau yang lain" pada Jumaat, turun 30 peratus berbanding Khamis, kata Menteri Pendidikan Edouard Geffray selepas mengadakan rundingan dengan para aktivis.
Beliau berkata tiga kakitangan cedera, berbanding 31 pada Khamis.
Menteri Dalam Negeri Laurent Nunez berkata 1,747 tangkapan dibuat pada Jumaat, sambil menambah bahawa berlakunya kejadian-kejadian melibatkan "objek yang dibaling, serangan terhadap penguat kuasa undang-undang, guru, wartawan dan orang awam".
Encik Geffray berkata satu pelan tindakan bagi "mempercepat penggantian" guru yang tidak hadir akan dilancarkan.
"TINDAKAN KERAS"
Para pelajar dan polis saling menuduh satu sama lain melakukan keganasan.
James, seorang pelajar sekolah menengah di bandar Lille di utara Perancis, mengecam apa yang disifatkannya sebagai "tindakan polis yang amat keras, yang sudah tentu mencetuskan lagi kemarahan para pelajar".
"Apabila kami melihat rakan-rakan pelajar dipukul, dicekik, hilang daya penglihatan pada sebelah mata dan terkena gas pemedih mata dari semua arah sedangkan kami hanya cuba berdialog dengan pemerintah, sudah tentu ia membuat orang ramai marah," katanya.
Di bandar Brest di barat Perancis, polis menggunakan gas pemedih mata di sekolah menengah Kerichen sedang para pelajar membaling objek ke arah pasukan keselamatan, menurut seorang jurugambar AFP.
Menteri Dalam Negeri Nunez berkata rakaman dari bandar Belfort di timur Perancis yang menunjukkan sekumpulan belia mengepung seorang anggota polis sebelum menendangnya hingga terjatuh memaparkan keganasan yang "jarang berlaku dan tidak boleh diterima".
Di Paris pada Jumaat, kebakaran merosakkan pintu masuk dua sekolah menengah, dengan pasukan bomba dipanggil untuk memadamkan api, menurut seorang jurugambar AFP.
Pasukan polis turut melancarkan siasatan dalaman menyusuli tuduhan berlakunya kekasaran terhadap para penunjuk perasaan.
Di bandar Toulouse di selatan Perancis, para penunjuk perasaan saling menitiskan ubat mata bagi satu sama lain selepas polis menggunakan gas pemedih mata, menurut gambar AFP.
Di Aubervilliers, utara Paris, polis menggunakan belantan dan perisai rusuhan untuk mengawal para penunjuk perasaan.
"KANAK-KANAK DALAM BAHAYA"
Pemerintah menuduh parti berhaluan kiri tegar France Unbowed (LFI) - dipimpin Jean-Luc Melenchon yang sekali lagi bertanding bagi jawatan presiden – sebagai dalang di sebalik gerakan tersebut.
Pegawai kanan LFI Manuel Bompard pula menuduh pemerintah "terjerumus dalam teori konspirasi".
Menteri Pendidikan berkata "gerakan pelajar sekolah menengah sedang dijadikan tebusan oleh kumpulan kecil yang amat ganas".
Encik Geffray memberitahu BFMTV bahawa sekurang-kurangnya 65 kakitangan cedera, termasuk 40 pengetua sekolah menengah, sejak gerakan tersebut bermula.
Sekitar 170 pelajar cedera manakala lebih 100 sekolah menengah mengalami "kerosakan teruk", tambah beliau.
"Perkara paling penting sekarang adalah memastikan anak-anak kita tidak lagi berada di jalan raya kerana mereka berada dalam bahaya."
Menurut Encik Nunez, lebih 300 anggota polis dan polis tentera mengalami kecederaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.