Tunjuk perasaan belia India berakhir selepas menteri pendidikan letak jawatan
Para peserta tunjuk perasaan meraikan peletakan jawatan Menteri Pendidikan India Dharmendra Pradhan di New Delhi pada Sabtu (25 Jul). (Gambar: AP/Vipin)
- Menteri Pendidikan India, Dharmendra Pradhan, meletak jawatan selepas tekanan daripada gerakan "lipas" yang diketuai belia.
- Tunjuk perasaan besar-besaran berlangsung lebih sebulan di New Delhi dan seluruh negara, menuntut pembaharuan sistem pendidikan dan akauntabiliti pemerintah.
- Pemerintah bersetuju memenuhi tuntutan termasuk pampasan kepada keluarga pelajar terjejas dan jaminan tiada tindakan undang-undang terhadap peserta.
- Gerakan ini bermula akibat kebocoran peperiksaan dan penyelewengan, serta berkembang kepada isu pengangguran dan peluang ekonomi.
Encik Dharmendra mengumumkan peletakan jawatannya menerusi platform X, sekali gus dianggap sebagai kemenangan besar bagi gerakan belia yang menerajui siri tunjuk perasaan, duduk bantah dan mogok lapar di seluruh negara.
Penganjur berkata mereka menamatkan tunjuk perasaan selepas pemerintah bersetuju memenuhi semua tuntutan yang dikemukakan.
Antara tuntutan itu ialah pembaharuan menyeluruh sistem pendidikan, pampasan kepada keluarga pelajar yang meninggal dunia akibat kes bunuh diri yang dikaitkan dengan kebocoran kertas peperiksaan serta jaminan bahawa tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap peserta tunjuk perasaan.
Jurucakap Cockroach Janta Party, Ashutosh Ranka, menggesa semua peserta supaya beredar secara aman dari lokasi tunjuk perasaan.
Peletakan jawatan Encik Dharmendra mencetuskan sambutan dalam kalangan ribuan peserta yang berkhemah di lokasi tunjuk perasaan di New Delhi selama lebih sebulan.
Gerakan "lipas" bermula lebih sebulan lalu susulan dakwaan kebocoran beberapa peperiksaan kemasukan utama di India.
Tunjuk perasaan yang pada awalnya menuntut pembaharuan sistem pendidikan kemudian berkembang menjadi gerakan lebih besar yang membangkitkan isu pengangguran, akauntabiliti pemerintah dan peluang ekonomi.
Pemerintah India sebelum ini mengumumkan beberapa langkah termasuk penubuhan mahkamah khas bagi mempercepat perbicaraan kes kebocoran peperiksaan serta rancangan menggubal undang-undang baharu bagi membanteras penipuan dalam sistem peperiksaan.
Bagaimanapun, langkah itu gagal meredakan tunjuk perasaan apabila peserta berpendapat isu akauntabiliti pemerintah masih belum ditangani.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.