Skip to main content

Dunia

Tumpahan minyak kapal tangki Rusia yang dikenakan sekatan, merebak luas di pantai Oman

Tumpahan minyak kini meliputi kawasan seluas kira-kira 390 kilometer persegi di luar pantai Oman, menurut pemerintah negara itu pada Isnin (10 Ogos), selepas sebuah kapal yang dikenakan sekatan dan membawa minyak mentah Rusia mengalami kerosakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Tumpahan minyak kapal tangki Rusia yang dikenakan sekatan, merebak luas di pantai Oman

Imej satelit menunjukkan tumpahan minyak berhampiran Caroline Bezengi, sebuah kapal yang dikenakan sekatan, di luar pantai wilayah Dhofar, Oman, pada 28 Julai 2026. (Gambar: 2026 Planet Labs PBC/Edaran menerusi REUTERS)

Diterbitkan : 10 Aug 2026 10:03PM
KAHERAH: Tumpahan minyak kini meliputi kawasan seluas kira-kira 390 kilometer persegi di luar pantai Oman, menurut pemerintah negara itu pada Isnin (10 Ogos), selepas sebuah kapal yang dikenakan sekatan dan membawa minyak mentah Rusia mengalami kerosakan.

Anak kapal Caroline Bezengi pertama kali melaporkan masalah pada 8 Jun ketika berada di luar pelabuhan Mukalla di selatan Yaman, menurut dua sumber keselamatan maritim. Mereka menambah bahawa penilaian awal menunjukkan satu letupan berlaku di atas kapal tersebut.

Dalam pendedahan awam pertama berhubung kesan kejadian itu terhadap alam sekitar, Oman pada Isnin menyatakan pihaknya sedang berusaha menangani kebocoran minyak di perairannya berhampiran Kepulauan Hallaniyat, di luar wilayah Dhofar di selatan negara tersebut.

Satu kenyataan Penguasa Alam Sekitar Oman yang disiarkan agensi berita rasmi negara itu menyatakan tumpahan minyak tersebut meliputi kawasan seluas kira-kira 390 kilometer persegi, berdasarkan analisis terkini yang turut menggunakan imej satelit.

Menurut kenyataan itu, tumpahan tersebut merebak ke timur laut kepulauan berkenaan menuju ke tanah besar dan pada titik terdekat, berada kira-kira tujuh kilometer dari pantai.

Analisis Reuters terhadap imej satelit dan maklumat daripada pakar perkapalan menunjukkan tumpahan daripada kapal tangki Caroline Bezengi sepanjang 274 meter yang terkandas itu masih merebak pada penghujung bulan lalu, sekali gus menimbulkan kebimbangan berhubung kemungkinan berlakunya pencemaran alam sekitar.

Punca kerosakan kapal tersebut masih belum diketahui dan Oman tidak memberikan sebarang penjelasan.

Data perkapalan menunjukkan kapal tersebut membawa muatan minyak mentah Rusia sebelum memulakan pelayaran. Kali terakhir ia menghantar isyarat menerusi Sistem Pengenalan Automatik (AIS) awam adalah pada 11 Jun di luar pantai Yaman.

Rusia menggunakan kapal tangki lama yang sering tidak diselenggara dengan baik, yang dikenali sebagai "armada bayangan", untuk mengelakkan sekatan Barat terhadap eksport minyak Rusia.

Kesatuan Eropah (EU) dan Britain mengenakan sekatan terhadap Caroline Bezengi atas apa yang menurut mereka merupakan penglibatan kapal berkenaan dalam mengangkut bahan api dari Rusia.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita