Tujuh anggota Bersatu diberi notis dalam masa terdekat: Muhyiddin

(Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memberi notis kepada tujuh anggotanya dalam masa terdekat berkenaan status keahlian mereka serta kedudukan kerusi yang disandang mereka ketika ini.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata selepas itu, pihaknya akan menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor dan Kelantan berhubung kedudukan mereka.
Encik Muhyiddin berkata: “Ada proses, perlu berhati-hati, perlu lengkap dengan laporan sebab kita tak nak tergesa-gesa, sebab itu ambil masa nak susun betul-betul, kita tak nak atas alasan teknikal, tindakan ini dikatakan tak berperaturan.
“Kita yakin (dengan) langkah (yang) diambil kerana banyak pihak kata betul, ikut Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti dan selaras itu, ROS (Pendaftar Pertubuhan) setuju dan kita beritahu Ahli Parlimen, ADUN Bersatu mereka kena patuh dan tandatangan tetapi ada yang tidak setuju… dan untuk menentukan adanya pilihan raya (kecil) kena bawa kepada Speaker.” Beliau memberitahu wartawan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) di ibu pejabat gabungan politik itu di Kuala Lumpur pada Selasa (11 Jun)
Sebelum ini, enam orang ahli parlimen Bersatu dan seorang ADUN Bersatu digugurkan keahlian serta-merta setelah gagal menjawab surat arahan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Mereka adalah AP Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal ; AP Jeli Zahari Kechik ; AP Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim, yang juga ADUN Nenggiri; AP Kuala Kangsa Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid , AP Labuan Suhaili Abdul Rahman; AP Tanjong Karang Dr Zulkafperi Hanafi dan ADUN Selat Klang Abdul Rashid Asari.
Sementara itu, Encik Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), mengesahkan bahawa PAS akan mewakili PN untuk bertanding di pilihan raya kecil DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang dan dijangka mengumumkan calonnya pada 15 Jun ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Julai sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.
Pilihan raya kecil ini diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei akibat keradangan dalam perut.
Pada pilihan raya negeri lalu, Encik Zamri, Presiden PAS Nibong Tebal, menewaskan calon Pakatan Harapan Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.