Skip to main content

Dunia

"Tuduhan Tun Mahathir bertujuan lemahkan kredibilti saya" kata PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
"Tuduhan Tun Mahathir bertujuan lemahkan kredibilti saya" kata PM Anwar
Diterbitkan : 16 Jun 2023 10:32AM Dikemas Kini : 16 Jun 2023 10:33AM

KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim berkata Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini membuat banyak serangan umum yang tidak berasas semata-mata untuk melemahkan kredibiliti beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia dan kerajaan Persekutuan.

Encik Anwar berkata keseluruhan kandungan ucapannya di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: "Perlaksanaan Sebuah Idealisme" pada 18 Mac lepas adalah tindak balas yang relevan terhadap serangan, pernyataan dan kelakuan Dr Mahathir terhadapnya, lapor Astro Awani.

"Dalam hal ini, saya berhak untuk menyangkal serangan yang tidak berasas terhadap watak, integriti dan niat baik saya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan saya," kata Encik Anwar.

Beliau menambah bahawa tidak ada maksud fitnah yang timbul dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau.

Presiden PKR itu berkata demikian dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan menerusi Tetuan Thomas Philip di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu (14 Jun) bagi menjawab saman yang difailkan Dr Mahathir terhadapnya.

Encik Anwar berkata saman Dr Mahathir terhadapnya juga untuk mewujudkan perpecahan kaum berikutan pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.

Encik Anwar berkata ini terbukti oleh Sijil Perakuan Segera bertarikh 3 Mei lepas difailkan Dr Mahathir yang menyatakan bahawa tindakan samannya mesti dilupuskan secepat mungkin berikutan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah akan menghadapi PRN.

Dalam penyataan pembelaanya, Encik Anwar turut membangkitkan mengenai pemberian kontrak secara langsung kepada Opcom Sdn Bhd, di mana anak ketiga Dr Mahathir iaitu Mukhriz adalah pengarah syarikat tersebut pada 30 Mac 1994 hingga 14 Oktober 2009.

Menurut Encik Anwar, pada 15 September 2003, Telekom Malaysia Berhad mengeluarkan surat kepada Kementerian Kewangan untuk meminta antara lain kebenaran untuk mengadakan rundingan terus dengan Opcom bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta (S$620 juta).

Beliau berkata Telekom adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan dengan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memegang satu saham khas yang memberikan MKD kuasa untuk menolak keputusan lembaga serta keputusan pemegang-pemegang saham lain.

Menurut Encik Anwar, sebuah lagi syarikat berkaitan dengan anggota keluarga plaintif iaitu Opcom Cables Sdn Bhd diberikan kontrak bernilai RM11.157 juta (S$32.3 juta) oleh Telekom pada 14 Mei 2018 bagi pemasangan dan pemulihan perkhidmatan Unifi, menurut Astro Awani.


Beliau mendakwa kontrak rakan Unifi itu diberikan kepada Opcom Cables empat hari setelah Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ketujuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 10 Mei 2018.

"Kontrak tersebut juga telah diberikan sebelum pembentukan jemaah menteri baru dan tanpa kelulusan mereka. Menteri-menteri kabinet hanya mengangkat sumpah pada 2 Julai 2018," katanya.

Encik Anwar berkata sebuah lagi syarikat milik anggota keluarga Dr Mahathir iaitu Kencana Petroleum Berhad menerima AS$220 juta (S$295 juta) daripada Malaysia International Shipping Corporation Berhad (MISC) atau Petronas untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 1998.

Defendan berkata urus niaga itu berlaku di bawah bidang kuasa atau arahan Dr Mahathir semasa beliau memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia.

Dalam saman yang difailkan pada 3 Mei lepas, Dr Mahathir mendakwa pada 18 Mac 2023, Encik Anwar memberikan ucapan di kongres berkenaan di Stadium Melawati, Shah Alam dan mengeluarkan beberapa kenyataan yang berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasi plaintif, seperti dipetik laporan Astro Awani.

Menurut Dr Mahathir, antara kenyataan kononnya plaintif 'membolot' harta untuk diberikan kepada anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu yang berpangkat tinggi.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM50 juta (S$14.5 juta), ganti rugi teladan berjumlah RM100 juta (S$29 juta) dan perintah supaya defendan dengan serta-merta menarik balik kesemua kenyataan-kenyataan fitnah.

Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita