Skip to main content

Dunia

Tuan Guru PAS Dr Haron Din meninggal dunia

Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din meninggal dunia di sebuah hospital di San Francisco, Amerika Syarikat pada jam 10.10 waktu Malaysia pagi ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Tuan Guru PAS Dr Haron Din meninggal dunia

Dr Haron Din. (Gambar: Facebook/ Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din (Official))

Diterbitkan : 16 Sep 2016 11:30AM Dikemas Kini : 16 Sep 2016 11:55AM

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din meninggal dunia di sebuah hospital di San Francisco, Amerika Syarikat pada jam 10.10 waktu Malaysia pagi ini, menurut Astro Awani.

Astro Awani menambah perkara itu disahkan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat Nasruddin Hassan menerusi laman Facebook beliau sebentar tadi.

Berita Harian Online Malaysia menukil: "Jam 10.10 pagi ini (waktu Malaysia), berita kami terima bahawa Tuan Guru Dato' Dr Harun Din telah kembali ke rahmatillah di Hospital Universiti Stanford. Semoga Allah swt mencucuri rahmatNya dan mengampuni al Marhum Tuan Guru serta menggolongkan beliau dari kalangan hambaNya yang soleh. Aameen Ya Rabbal A'lamin."

Dr Harun Din yang berusia 76 tahun dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi ketika menjalani rawatan jantung di hospital berkenaan.

Berita Harian Online Malaysia difahamkan beliau berlepas ke Amerika sejak beberapa hari lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihadapinya.

Beliau pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di hospital itu pada 2 April 2012.

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berkata negara kehilangan seorang tokoh Islam yang banyak berjasa.

Beliau menambah bahawa beliau rapat dengan Allahyarham dan berkongsi keinginan menjadikan Malaysia sebagai negara Islam yang makmur.

"Innalillahiwainnailaihirajiun. Terima berita sedih Tuan Guru Haron Din telah kembali ke rahmatullah. Kita kehilangan tokoh Islam banyak jasa.

"Saya rapat dengan beliau, kami inginkan Malaysia negara Islam makmur. Moga roh Allahyarham Haron Din dikurnia husnul khotimah dan Al-Jannah. Al-Fatihah," kata Najib menerusi catatan beliau dalam laman Twitter @NajibRazak.

Pada Mac lalu, beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu sakit dada. 

Sumber : Agensi berita/ BERNAMA/ ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita