Tsunami Indonesia: Gambar, ujian DNA bantu kenal pasti keluarga
Rakyat Indonesia yang sedang berduka beratur panjang membawa gambar atau menantikan hasil ujian DNA pada Rabu (26 Dis) untuk mengetahui sama ada anggota keluarga mereka yang dilaporkan hilang adalah antara jasad yang terbujur di hospital selepas tsunami dahsyat melanda negara tersebut baru-baru ini.

Ahli keluarga menantikan ujian untuk kenal pasti jasad mangsa (Gambar: AFP)
CARITA: Rakyat Indonesia yang sedang berduka beratur panjang membawa gambar atau menantikan hasil ujian DNA pada Rabu (26 Dis) untuk mengetahui sama ada anggota keluarga mereka yang dilaporkan hilang adalah antara jasad yang terbujur di hospital selepas tsunami dahsyat melanda negara tersebut baru-baru ini.
"Saya takut," kata Encik Tubagus Cecep, 63 tahun, sedang beliau menantikan hasil ujian ke atas jasad yang beliau khuatiri adalah anak lelakinya.
"Tapi jika saya terus bertawakal kepada Tuhan mungkin dia dibawa arus ke tempat lain dan masih hidup."
Anak lelakinya, seorang siswa universiti yang bakal tamat pengajian dalam masa lima bulan akan datang, tidak ditemui sejak bencana melanda. Ketika kejadian, beliau sedang melakukan lawatan ke sebuah pulau dekat pesisiran pulau Jawa.
Empat rakannya juga belum ditemui.
"Mereka menemui mayat, beberapa beg dan kasut anak saya," bapa kepada 10 orang anak itu memberitahu AFP.
"Saya masih menunggu untuk jasad-jasad ini dikenal pasti. Kita belum tahu lagi sama ada dia atau bukan."
Ramai yang lain beratur sambil menunjukkan gambar ahli keluarga di telefon bimbit mereka untuk digunakan para pegawai bagi mengenal pasti mayat.
"Kami bertanya kepada mereka mengenai kali terakhir mereka melihat saudara mara mereka, apa yang mereka pakai, jika ada sebarang tanda pada tubuh mereka," kata Encik Nariyana, ketua khidmat forensik dan perubatan polis tempatan.
Tugas tersebut menjadi lebih sukar kerana ramai ahli keluarga membuat aduan yang sama untuk mencari orang tersayang, menurut Encik Nariyana.
Seorang lagi yang sedang menunggu dengan penuh harapan ialah Nur Masa, yang pada Sabtu malam bersama abangnya di sebuah pantai di Jawa ketika tsunami membadai.
Abangnya - yang sedang memasang jaring di laut ketika itu - masih belum ditemui.
"Saya masih berharap dia akan ditemui," kata Masa, 33 tahun, kepada AFP.
"Namun sudah empat hari dan empat malam dan dia belum lagi ditemui."
Ledakan gunung berapi Anak Krakatau, yang terletak di tengah-tengah Selat Sunda antara kepulauan Jawa dengan Sumatera, menyebabkan sebahagian kawah runtuh ke dasar laut, mencetuskan tsunami, menurut para pegawai.
Agensi bencana Indonesia menaikkan angka korban pada Rabu kepada 430 mangsa, dengan 1,495 orang cedera dan lagi 159 masih dilaporkan hilang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.