Skip to main content

Dunia

Tsunami Indonesia: Budak lelaki diselamatkan terperangkap 12 jam dalam kereta remuk

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun berjaya diselamatkan dari sebuah kereta yang remuk di bandar Banten di Jawa.

Anggaran Waktu Membaca:
Tsunami Indonesia: Budak lelaki diselamatkan terperangkap 12 jam dalam kereta remuk

Kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun yang dikenali sebagai Ali berjaya diselamatkan selepas terperangkap selama 12 jam. (Gambar: @reezaherasbudi/Instagram)

Diterbitkan : 25 Dec 2018 12:02AM Dikemas Kini : 25 Dec 2018 12:10AM

BANTEN, INDONESIA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun berjaya diselamatkan dari sebuah kereta yang remuk di bandar Banten di Jawa.

Beliau akhirnya diselamatkan selepas terperangkap di dalam kereta berkenaan selama 12 jam, selepas ombak tsunami membadai kawasan itu pada Sabtu (22 Dis).

Menurut laporan The Mirror, para penyelamat menjumpai kanak-kanak lelaki itu selepas terdengar tangisannya.

Rakaman video yang dimuat naik oleh pengguna Instagram @reezaherasbudi menunjukkan para penyelamat mengalihkan serpihan daripada kereta yang remuk itu. Seorang pegawai mengenal pasti lokasi kejadian sebagai Hotel Mutiara di Pantai Carita.

"Kami sedang cuba untuk menyelamatkan dua orang di bawah runtuhan itu," kata pegawai berkenaan dalam video tersebut. "Sila berdoa agar kami dapat menyelamatkan mereka."

Kapsyen video itu mengesahkan bahawa kanak-kanak lelaki berkenaan, yang dikenal pasti sebagai Ali, berjaya diselamatkan.

View this post on Instagram

Alhamdulillah Ali umur 5thn dapat diselamatkan

A post shared by Reeza ❤ Middlianti (@reezaherasbudi) on

Satu lagi video yang dimuat naik ke Instagram menunjukkan bagaimana para pegawai menggunakan lampu suluh untuk memeriksa runtuhan itu, sebelum menyelamatkan Ali. Kanak-kanak lelaki itu kemudian dilihat didukung oleh seorang pegawai yang menyelamatkannya.

Selain mengalami luka-luka, Ali tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Kapsyen video berkenaan juga mendedahkan bahawa Ali terperangkap di bawah timbunan runtuhan bangunan yang roboh selama 12 jam.

Buat masa ini, tiada sebarang maklumat mengenai seorang lagi individu yang terperangkap di dalam kereta berkenaan.

Sekurang-kurangnya 373 orang terkorban manakala lebih 1,400 yang lain cedera selepas ombak tsunami membadai kawasan pantai di bahagian selatan Sumatera dan bahagian hujung barat Jawa pada Sabtu (22 Dis).

Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan.

Tsunami itu dipercayai tercetus akibat letusan Anak Krakatau. Para pakar memberi amaran bahawa lebih banyak ombak besar mungkin melanda Indonesia sedang kegiatan gunung berapi berterusan.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita