Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump umum Musk, Ramaswamy ketuai Jabatan Kecekapan Pemerintah Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
WASHINGTON: Bakal Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan pada Selasa (13 Nov) hartawan Elon Musk, akan mengetuai sebuah jabatan baharu "kecekapan pemerintah", yang ditugaskan untuk mengurangkan pembaziran persekutuan.

Encik Musk yang menjadi sekutu utama Encik Trump semasa kempennya, dilaporkan membelanjakan lebih AS$100 juta (S$133.8 juta) untuk membantu calon Republican itu menang dalam Pilihan Raya Presiden dan sering menyokong pencalonan Encik Trump di X, iaitu platform yang dimilikinya.

Encik Trump berkata Encik Musk akan menjadi ketua Jabatan Kecekapan Pemerintah ('DOGE') - – merujuk kepada mata wang kripto dengan cara yang berseloroh, bersama-sama dengan ahli peniaga, yang juga mantan calon Presiden parti Republican, Vivek Ramaswamy.

"Kedua-dua warga Amerika yang luar biasa ini akan membuka jalan bagi pentadbiran saya untuk parti Republican, mengurangkan peraturan yang dikawal berlebihan, memotong perbelanjaan yang membazir, dan melakukan penyusunan semula kepada Agensi Persekutuan," kata Encik Trump dalam kenyataannya.

Beliau berkata jabatan itu "akan memberikan nasihat dan panduan dari luar pemerintah," iaitu langkah yang mungkin membolehkan Encik Musk mengelakkan daripada mendedahkan pegangan kewangannya.

Encik Trump, 78 tahun, dijadualkan datang ke Washington pada Rabu untuk bertemu Presiden Joe Biden di Rumah Putih.

Beliau mungkin juga pergi ke bangunan Capitol, di mana partinya memenangi majoriti tipis dalam Senat dan diramal mengekalkan kuasa ke atas Dewan Perwakilan.

Dengan tinggal hanya sekitar dua bulan sebelum beliau memulakan tugas, Encik Trump bergerak pantas untuk mengukuhkan semula kedudukannya sebagai Presiden.

Sementara itu, beliau juga menamakan veteran tentera dan bekas pengacara stesen tv Fox News, Pete Hegseth, bagi jawatan setiausaha pertahanan yang baharu.

"Dengan Pete di jawatan itu, musuh-musuh Amerika telah diberi amaran -- Tentera kami akan menjadi Hebat Semula, dan Amerika tidak pernah akan tunduk," katanya.

Media Amerika melaporkan Senator Florida, Marco Rubio, akan dicalonkan untuk jawatan penting sebagai setiausaha negara.

Encik Trump secara berasingan menamakan ahli kongres Mike Waltz, mantan pegawai tentera khas, sebagai penasihat keselamatan negara yang baharu.

Encik Waltz mempunyai pandangan tegas mengenai China dan tidak dianggap sebagai seorang yang cenderung kepada dasar menyendiri, meskipun terdapat keinginan dalam kalangan sesetengah penyokong Trump agar Amerika Syarikat berundur daripada penglibatan luar negara dan mengurangkan komitmen terhadap sekutu seperti NATO.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan