Skip to main content

Dunia

Trump umum gencatan senjata 12 jam antara Israel dan Iran

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Isnin (23 Jun) bahawa gencatan senjata "lengkap dan menyeluruh" antara Israel dan Iran akan berkuat kuasa dengan matlamat untuk menamatkan konflik antara kedua-dua negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump umum gencatan senjata 12 jam antara Israel dan Iran

Imej komposit menunjukkan pemintasan berlaku selepas Iran menyatakan ia menyasarkan pangkalan udara Al-Udeid dalam serangan peluru berpandu di Qatar pada 23 Jun 2025 (kiri) dan Presiden Amerika Donald Trump. (Gambar: Reuters/Stringer/Carlos Barria)

Diterbitkan : 24 Jun 2025 07:08AM Dikemas Kini : 24 Jun 2025 08:05AM

WASHINGTON/DOHA/ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Isnin (23 Jun) bahawa gencatan senjata "lengkap dan menyeluruh" antara Israel dan Iran akan berkuat kuasa dengan matlamat untuk menamatkan konflik antara kedua-dua negara itu.

Encik Trump turut membayangkan bahawa Israel dan Iran akan mempunyai masa untuk menyelesaikan sebarang misi yang sedang dijalankan, di mana gencatan senjata akan bermula melalui proses berperingkat.

"Jika segala-galanya berfungsi sebagaimana yang diharapkan, yang saya berharap akan berlaku, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua negara, Israel dan Iran, kerana mempunyai Stamina, Keberanian, dan Kepintaran untuk menamatkan, apa yang disifatkan sebagai 'PERANG 12 HARI'," tulis Encik Trump di laman Truth Social.

Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahupun Kedutaan Israel di Washington tidak segera menjawab permintaan berasingan Reuters untuk mendapatkan komen masing-masing.

Sejauh ini, Israel atau Iran belum lagi menyatakan secara rasmi bahawa mereka telah menyetujui sebarang gencatan senjata yang diumumkan oleh Encik Trump.

Sebelum ini, Encik Trump berkata bahawa beliau akan menggalakkan Israel untuk meneruskan usaha ke arah keamanan selepas menyifatkan serangan Iran ke atas pangkalan udara Amerika yang tidak menyebabkan kecederaan sebagai 'tindak balas yang sangat lemah' dan berterima kasih kepada Tehran kerana mengeluarkan notis awal mengenai serangan itu.

Catatan Encik Trump itu dimuat naik beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan udara Amerika yang tidak menyebabkan kecederaan.

Serangan ke atas Pangkalan Udara Al Udeid di negara jiran Qatar mengancam akan memperluaskan konflik yang bermula pada 13 Jun dengan serangan Israel ke atas Iran yang menyasarkan program nuklear dan peluru berpandu balistiknya.

Iran telah mengancam untuk bertindak balas terhadap Amerika selepas pesawat pengebom B-2 menggugurkan bom 'bunker-busters' seberat 30,000 paun ke atas kemudahan nuklear bawah tanah Iran pada hujung minggu lalu, menyertai serangan udara Israel terhadap Iran, dan tindakan Encik Trump itu telah membangkitkan kemungkinan pemerintah Iran akan digulingkan.

“Kami tidak menyerang sesiapa, dan kami tidak akan menerima diserang oleh sesiapa pun,” kata Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei dalam satu kenyataan. "Kami tidak akan tunduk kepada pencerobohan sesiapa - ini adalah logik negara Iran."

Iran memberi notis awal kepada Amerika melalui saluran diplomatik beberapa jam sebelum serangan itu, serta pihak berkuasa Qatar, dan Encik Trump menganggapnya sebagai satu petanda positif.

"Saya berterima kasih kepada Iran kerana memberi kami notis awal, yang memungkinkan tiada nyawa terkorban, dan tiada siapa yang cedera," tulis Encik Trump di laman media Truth Social. "Mungkin Iran kini boleh meneruskan usaha ke arah Keamanan dan Keharmonian di Timur Tengah, dan saya akan menggalakkan Israel supaya melakukan perkara yang sama dengan penuh semangat."

Menurut Encik Trump, Iran melepaskan 14 peluru berpandu ke arah pangkalan udara itu dan menyifatkannya sebagai "tindak balas yang sangat lemah, yang kami jangkakan, dan telah dibalas dengan sangat berkesan."

"Saya mahu melaporkan bahawa TIADA rakyat Amerika yang cedera dan hampir tiada kerosakan," tulis Encik Trump. "Paling penting, mereka telah mengeluarkan semuanya daripada 'isi hati' mereka, dan diharapkan, tiada lagi KEBENCIAN," tulis Encik Trump.

Serangan Iran itu bagaimanapun merenggangkan hubungan Iran dengan negara-negara Arab: Qatar mengutuknya, begitu juga Bahrain, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Kuwait dan Iraq.

Sementara itu, Israel mendakwa bahawa ia telah melancarkan siri serangan yang paling meluas ke atas Tehran pada Isnin (23 Jun).

Sasarannya termasuk sebuah penjara di Teheran di mana kepimpinan Iran menahan seteru politik, dalam demonstrasi terbaharu tentang kesediaannya untuk menyerang melebihi sasaran ketenteraan dan nuklear yang dinyatakan sebelum ini untuk menyasarkan tunggak utama sistem pemerintahan Iran.

Di sebalik ancaman Iran untuk menyekat penghantaran minyak dari Teluk, harga minyak jatuh 7 peratus dalam dagangan LCOc1 yang tidak menentu, menunjukkan bahawa para peniaga bimbang Iran akan mengganggu bekalan global.

Qatar, yang terletak di seberang Teluk dari Iran, menutup ruang udaranya selepas menerima amaran awal daripada Iran, menurut sumber yang mengetahui perkara itu kepada Reuters.

Menteri Luar Iran Abbas Araqchi bertemu Presiden Rusia Vladimir Putin di Mosko untuk meminta sokongan daripada salah seorang rakan kuasa besar dunia untuk langkah seterusnya.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita