Skip to main content

Dunia

Trump umum Amerika Syarikat akan tarik balik sekatan ke atas Turki, sedia pertimbang jual jet pejuang F-35

Anggaran Waktu Membaca:
  Trump umum Amerika Syarikat akan tarik balik sekatan ke atas Turki, sedia pertimbang jual jet pejuang F-35

Jet pejuang F-35. (Gambar: REUTERS/Fabrizio Bensch)

Diterbitkan : 07 Jul 2026 11:06PM Dikemas Kini : 07 Jul 2026 11:08PM
ANKARA: Presiden Donald Trump pada Selasa (7 Jul) mengumumkan bahawa Washington akan menarik balik sekatan Amerika Syarikat ke atas Turki yang dikenakan pada 2020 berhubung tindakan Ankara membeli peluru berpandu pertahanan Rusia.

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan kesediaan untuk menjual jet pejuang F-35 kepada negara sekutu NATO itu.


Langkah tersebut merupakan satu penghormatan besar daripada Encik Trump kepada Presiden Turki Tayyip Erdogan yang dianggapnya sebagai sekutu rapat, sekali gus akan melenyapkan isu lama yang sering menjejaskan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Walaupun Washington dan Ankara menikmati hubungan yang lebih mesra di bawah pentadbiran Encik Trump, tindakan Turki memperolehi sistem S-400 Rusia pada 2019 telah lama menjadi punca ketegangan bagi kedua-dua belah pihak.

Sebagai tindak balas terhadap pembelian itu, Washington pada 2020 mengenakan sekatan ke atas sebuah syarikat pertahanan utama Turki dan mengeluarkan Turki, daripada program jet pejuang halimunan F-35, di mana Ankara sebelum itu merupakan salah satu rakan kongsi pengeluaran.

"Kami akan menarik balik sekatan tersebut," kata Encik Trump kepada pemberita sejurus sebelum pertemuannya dengan Erdogan sempena lawatan ke Turki untuk sidang puncak NATO. Beliau menambah bahawa setiausaha negara dan setiausaha perbendaharaannya kini sedang menguruskan isu berkenaan.

Encik Trump juga kelihatan optimis tentang kemungkinan penjualan jet pejuang halimunan F-35 kepada Turki, walaupun beliau tidak menjelaskan secara terperinci bagaimana urus niaga sedemikian akan dilaksanakan memandangkan terdapat kekangan undang-undang.

"Dalam banyak keadaan, Turki terbukti jauh lebih setia berbanding negara-negara lain yang kita sangka akan setia... Ia (F-35) adalah sebuah pesawat yang hebat, ia adalah yang terbaik, setakat ini merupakan pesawat paling hebat. Dan ia pastinya sesuatu yang akan kami pertimbangkan," kata Encik Trump.

Sebelum ini, Kongres Amerika Syarikat meluluskan undang-undang yang melarang sebarang penjualan F-35 kepada Turki selagi Ankara menyimpan sistem S-400 tersebut, atas alasan sistem buatan Rusia itu menimbulkan risiko keselamatan kepada pesawat tempur buatan Amerika Syarikat.

Pada masa ini, undang-undang Amerika tidak membenarkan Turki mengendalikan atau memiliki sistem S-400 sekiranya mereka berhasrat untuk menyertai semula program F-35.

Terdahulu, dua sumber yang tahu mengenai perkara itu memberitahu Reuters bahawa Encik Trump dijangka memberikan sokongan padu terhadap potensi penjualan F-35 kepada Turki. Salah satu jalan penyelesaian yang mula mendapat perhatian sejak beberapa minggu kebelakangan ini adalah dengan menghantar sistem Rusia itu ke negara ketiga, walaupun persetujuan mengenainya masih belum dimuktamadkan menurut sumber yang enggan dikenali itu atas faktor sensitiviti isu.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada langkah sedemikian akan diterima oleh Rusia, memandangkan Mosko menetapkan syarat wajib pengguna akhir dalam setiap penjualan senjatanya.

Lawatan Encik Trump ke Turki ini merupakan kunjungan pertama oleh seorang presiden Amerika Syarikat dalam tempoh 11 tahun.

Beliau disambut oleh Encik Erdogan dengan upacara negara yang penuh gilang-gemilang dan kedua-dua pemimpin itu saling memuji antara satu sama lain dalam ucapan terbuka mereka.

Di bawah pentadbiran Encik Trump, rekod hak asasi manusia Turki yang semakin merosot tidak pernah menjadi topik yang membimbangkan pihak Washington.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita