Skip to main content

Dunia

Trump umum akan atur rundingan Zelenskyy-Putin

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyifatkan pertemuannya dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dan rakan-rakan Eropah yang lain pada Isnin (18 Ogos) sebagai "sangat baik" dan beliau kini sedang mengaturkan pertemuan antara Presiden Rusia Vladimir Putin dan Encik Zelenskyy.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump umum akan atur rundingan Zelenskyy-Putin

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kanan), Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy (kiri), dan Presiden Finland, Alexander Stubb (tengah), semasa satu pertemuan di Rumah Putih di Washington, DC, Amerika Syarikat, pada 18 Ogos 2025, di tengah-tengah rundingan untuk menamatkan perang Rusia di Ukraine. (Gambar: REUTERS/Alexander Drago)

Diterbitkan : 19 Aug 2025 07:49AM Dikemas Kini : 19 Aug 2025 08:09AM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyifatkan pertemuannya dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dan rakan-rakan Eropah yang lain pada Isnin (18 Ogos) sebagai "sangat baik" dan beliau kini sedang mengaturkan pertemuan antara Presiden Rusia Vladimir Putin dan Encik Zelenskyy.

Encik Trump selanjutnya berkata bahawa jaminan keselamatan untuk Ukraine - disediakan oleh negara-negara Eropah dengan penyelarasan dengan Amerika - telah dibincangkan semasa mesyuarat itu.

“Di akhir mesyuarat, saya menelefon Presiden Putin, dan kami sedang mengaturkan pertemuan, di lokasi yang akan ditentukan, antara Presiden Putin dan Presiden Zelenskyy,” kata Encik Trump sambil menambah bahawa Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance, Setiausaha Negara Marco Rubio dan Duta Khas Steve Witkoff akan mengaturkan rundingan antara kedua-dua negara itu.

Encik Trump membuat ikrar itu semasa sidang puncak luar biasa di Rumah Putih, di mana beliau menjadi tuan rumah kepada Encik Zelenskyy dan sekumpulan sekutu Eropah dua hari selepas Encik Trump bertemu dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di Alaska dan beberapa bulan selepas mesyuarat di mana Encik Trump dan Encik JD Vance secara terbuka mengkritik pemimpin Ukraine itu.

Perjanjian damai antara Rusia dan Ukraine bagaimanapun nampaknya jauh dari berlaku. Kedua-dua Encik Trump dan Encik Zelenskyy berkata bahawa mereka berharap pertemuan pada Isnin (18 Ogos) akhirnya akan membawa kepada rundingan tiga hala dengan Encik Putin.

Kremlin masih belum menerima secara terbuka mesyuarat sedemikian, dan masih belum jelas sama ada Encik Putin, yang pasukannya perlahan-lahan bergerak ke arah timur Ukraine, bersedia untuk duduk semeja bersama Encik Zelenskyy atau membuat konsesi yang bermakna.

Sementara itu, para pemimpin Eropah - yang bergegas ke Washington untuk menyokong Ukraine - menggesa Encik Trump untuk mendesak Encik Putin supaya bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata sebelum sebarang rundingan boleh diteruskan.

Encik Trump sebelum ini menyokong saranan itu tetapi bertukar arah selepas bertemu dengan Encik Putin pada Jumaat lalu, sebaliknya menerima pendirian Mosko bahawa sebarang perjanjian damai mestilah bersifat menyeluruh.
Sumber : Agensi berita/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita