Trump ulangi komitmen Amerika Syarikat kepada ASEAN
Presiden AS Donald Trump bercakap semasa Sidang Kemuncak ASEAN - Amerika Syarikat ke-13 sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) ke-47 di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025. (Gambar: Vincent Thian / POOL / AFP)
Menerusi ucapannya pada Sidang Puncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-13 pada Ahad (26 Okt), Encik Trump berkata Amerika terus berdedikasi untuk memajukan Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan makmur serta memperkukuh hubungan dengan negara anggota ASEAN dalam bidang perdagangan, pelaburan dan keselamatan serantau.
"Saya ingin menyatakan bahawa Amerika Syarikat berada di pihak anda. Kami komited terhadap rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan makmur.
"Pesanan saya kepada negara-negara di Asia Tenggara ialah Amerika 100 peratus berada di pihak anda, dan kami berhasrat menjadi rakan kongsi dan sahabat anda yang kuat untuk generasi akan datang," katanya.
Encik Trump juga berkata pentadbirannya memulihkan kekuatan dan kedudukan global Amerika, dengan menyifatkan tempoh sekarang ini sebagai antara era kejayaan ekonomi yang tiada tandingan dan pelibatan yang aktif di peringkat antarabangsa.
"Setahun lalu, kita berada di tempat yang berbeza, namun ketika ini, kita berada pada kedudukan terbaik yang pernah dicapai. Saya benar-benar percaya ini adalah zaman keemasan Amerika," katanya.
Encik Trump berkata Amerika dan rakan kongsinya di Indo-Pasifik bersedia mewujudkan kemakmuran luar biasa bagi negara-negara yang berada di kedua-dua belah Lautan Pasifik serta merebut peluang untuk rakyat mereka.
"Saya amat berbesar hati dapat kembali ke sini, di tengah-tengah sekutu dan rakan penting Amerika di Asia Tenggara.
"Saya hadir di sini untuk mengukuhkan hubungan perdagangan, memperkasakan keselamatan bersama dan benar-benar menggalakkan kestabilan, kemakmuran serta keamanan untuk semua sama ada yang di dekat di dalam bilik ini atau yang jauh di luar sana," katanya.
Beliau turut menekankan sejarah hubungan Amerika dengan Asia, yang bermula sejak zaman awal ketika rakyat negara itu berani menyeberangi Lautan Pasifik untuk mewujudkan hubungan perdagangan dan diplomasi.
"Ikatan itu, yang terjalin sejak sekian lama, terus diperkukuh dan berkembang hingga ke hari ini termasuk di Kuala Lumpur. Saya tidak sabar menantikan saat untuk berbincang dengan kebanyakan daripada anda yang berada di sini dan juga di forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Korea Selatan minggu ini," katanya.
Encik Trump turut menyorot pemeteraian perjanjian perdagangan baharu dengan Malaysia serta peranan beliau dalam mempelopori perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand, yang dikenali sebagai Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
Beliau turut merujuk kepada kemajuan dalam perjanjian perdagangan lain di rantau Indo-Pasifik dengan Kemboja, Jepun dan Korea Selatan, sambil menambah bahawa Amerika berbesar hati dapat menjalin kerjasama lebih erat dalam bidang tenaga, teknologi, kecerdasan buatan, galian penting dan industri lain.
Presiden Amerika itu turut memuji kepimpinan Malaysia di bawah Encik Anwar kerana menganjurkan satu hari yang amat berjaya pada Sidang Puncak ASEAN ke-47.
Encik Trump berkata beliau menunaikan janjinya untuk menghadiri sidang puncak itu selepas Malaysia memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam usaha damai antara dua negara berjiran yang membawa kepada kelahiran Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
Beliau berkata perjanjian damai itu mewakili satu daripada lapan konflik yang diselesaikan dalam tempoh lapan bulan pertama pentadbirannya sebagai Presiden Amerika Syarikat, termasuk menghentikan perang di Gaza, yang disusuli pemeteraian yang digelarnya sebagai satu perjanjian yang amat kukuh membabitkan 59 negara.
"Majlis menandatangani perjanjian damai hari ini hanyalah satu daripada lapan konflik yang telah kita selesaikan dalam tempoh pentadbiran saya sebagai Presiden Amerika Syarikat. Saya amat berbesar hati dapat melakukannya. Kita telah menyelamatkan jutaan nyawa.
"Saya ingin merakamkan penghargaan buat Malaysia dan Brunei serta sahabat saya Presiden Prabowo (Subianto) dari Indonesia, atas sokongan luar biasa mereka dalam kesemua usaha ini untuk membuka lembaran baharu bagi Timur Tengah.
"Timur Tengah akan menikmati keamanan selepas tempoh 3,000 tahun. Ini adalah keamanan yang amat utuh dan ia akan kekal selama-lamanya," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.