Skip to main content

Dunia

Trump ulangi dakwaan palsu menang pilihan raya Presiden, mungkin bertanding lagi

Mantan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi bayangan beliau mungkin bertanding untuk jawatan Presiden lagi pada 2024.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump ulangi dakwaan palsu menang pilihan raya Presiden, mungkin bertanding lagi

Gambar: Ian Walton/REUTERS

Diterbitkan : 01 Mar 2021 11:52AM Dikemas Kini : 01 Mar 2021 11:54AM

WASHINGTON: Mantan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi bayangan beliau mungkin bertanding untuk jawatan Presiden lagi pada 2024.

Dalam pada itu, Encik Trump mengkritik Presiden Joe Biden dan mengulangi dakwaan palsu bahawa beliau memenangi pilihan raya 2020 dalam penampilan utamanya yang sulung pada Ahad (28 Feb) dalam Sidang Tindakan Politik Konservatif (CPAC) di Orlando, Florida sejak meninggalkan Rumah Putih hampir enam minggu lalu.

Enggan mengaku kalah di tangan Presiden Joe Biden dalam pilihan raya Presiden 3 November lepas, Encik Trump sebaliknya mengkritik tindakan-tindakan anggota Parti Democrat itu dalam beberapa minggu pertamanya sebagai Presiden.

"Mereka sudah hilang sokongan Rumah Putih," kata anggota parti Republican itu sambil mengutuk cara Presiden Biden menangani isu keselamatan sempadan. "Tapi siapa tahu, siapa tahu, mungkin saya akan memutuskan untuk mengalahkan mereka buat kali ketiga."

Hasil tinjauan dalam kalangan hadirin sidang CPAC itu menunjukkan sokongan kuat terhadap Encik Trump dengan 55 peratus menyatakan mereka akan mengundinya untuk mewakili parti Republican dalam pilihan raya presiden pada 2024.

Gabenor Florida Ron DeSantis pula menyusuli di tempat kedua dengan 21 peratus undian.

Dalam ucapannya, Encik Trump berkata beliau mahu menyelamatkan budaya dan identiti Amerika Syarikat.

Beliau melihat dirinya sebagai pengkritik utama presiden baru termasuk dalam isu-isu berhubung kemasukan pendatang dan keselamatan sempadan Amerika Syarikat dengan Mexico serta pembukaan semula sekolah-sekolah yang ditutup sebelum ini kerana pandemik COVID-19.

"Bulan pertama Joe Biden sebagai Presiden adalah yang paling teruk berbanding mana-mana presiden sebelum ini dalam sejarah moden," dakwa Encik Trump.  

Sumber : Reuters/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita