Skip to main content

Dunia

Trump turunkan tarif terhadap China susuli pertemuan dengan Xi

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Khamis (30 Okt) beliau bersetuju untuk mengurangkan tarif ke atas China kepada 47 peratus. Sebagai balasan, Beijing akan menyambung semula pembelian kacang soya dari Amerika Syarikat, meneruskan eksport nadir bumi dan membanteras perdagangan haram fentanyl.
Anggaran Waktu Membaca:
Trump turunkan tarif terhadap China susuli pertemuan dengan Xi
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berjabat tangan dengan Presiden China Xi Jingping selepas pertemuan di Pangkalan Udara Gimhae pada 30 Okt 2025. (Gambar: AFP/Andrew Caballero-Reynolds)
Diterbitkan : 30 Oct 2025 03:44PM Dikemas Kini : 30 Oct 2025 03:45PM
  • Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Khamis (30 Okt) beliau bersetuju untuk mengurangkan tarif ke atas China kepada 47 peratus.
  • China juga bersetuju untuk mengekalkan eksport nadir bumi ke dunia sebagai sebahagian daripada perjanjian selama setahun, kata Encik Trump.
  • Amerika Syarikat akan memotong tarif terhadap barang import China berkaitan dengan fentanyl kepada 10 peratus daripada 20 peratus.
  • Encik Trump berkata beliau akan ke China pada April depan untuk mengadakan rundingan baharu.
Dijana oleh AI
BUSAN, Korea Selatan: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Khamis (30 Okt) beliau bersetuju untuk mengurangkan tarif ke atas China kepada 47 peratus. Sebagai balasan, Beijing akan menyambung semula pembelian kacang soya dari Amerika Syarikat, meneruskan eksport nadir bumi dan membanteras perdagangan haram fentanyl.

Encik Trump membuat kenyataan itu selepas mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan Presiden China, Xi Jinping, di Busan, Korea Selatan —pertemuan pertama mereka sejak 2019. Ia sekali gus menandakan penutup bagi lawatan Encik Trump ke Asia, di mana beliau juga menekankan pencapaian perdagangan dengan Korea Selatan, Jepun dan negara-negara Asia Tenggara.

"Saya rasa ia satu pertemuan yang hebat," kata Encik Trump kepada para wartawan dalam pesawat Air Force One tidak lama selepas beliau berlepas dari Busan, sambil menambah bahawa tarif yang dikenakan terhadap barang import China akan dipotong kepada 47 peratus daripada 57 peratus.

China juga bersetuju untuk mengekalkan eksport nadir bumi ke dunia sebagai sebahagian daripada perjanjian selama setahun, kata Encik Trump.

Menurut Encik Trump, perjanjian berkenaan akan “menyelesaikan” isu tersebut tetapi beliau tidak mendedahkan banyak butiran selain mengatakan perjanjian itu mungkin akan dilanjutkan.

China belum lagi mengulas tentang apa yang dipersetujui oleh kedua-dua pemimpin itu semasa pertemuan tersebut, yang berlangsung selama hampir dua jam.

"Kesemua isu nadir bumi sudah diselesaikan," kata Encik Trump kepada wartawan di Air Force One.

"Dan ini untuk dunia, seluruh dunia, anda boleh katakan ia adalah situasi seluruh dunia, bukan sahaja situasi Amerika Syarikat."

"Tiada halangan langsung terhadap nadir bumi. Dan semoga ia tidak perlu dibincangkan buat sementara waktu."

Amerika Syarikat akan memotong tarif terhadap barang import China berkaitan dengan fentanyl kepada 10 peratus daripada 20 peratus.

Encik Xi akan "berusaha sebaik mungkin untuk menghentikan aliran" fentanyl, kata Encik Trump, dan tarif dikurangkan "kerana saya percaya mereka sedang mengambil tindakan yang tegas".

Encik Trump berkata banyak keputusan dibuat semasa sidang puncak bersama Xi Jinping, yang berlangsung di luar acara Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), sambil menyifatkannya sebagai satu "pertemuan yang hebat".

Encik Trump berkata beliau akan ke China pada April depan untuk mengadakan rundingan baharu.

"Saya akan ke China pada April dan beliau akan datang ke sini tidak lama selepas itu, sama ada di Florida, Palm Beach atau Washington, DC," kata Encik Trump kepada wartawan di dalam Air Force One.

"Banyak perkara yang kami muktamadkan" dalam rundingan pada Khamis, kata Encik Trump, sambil memuji Presiden Xi sebagai "pemimpin hebat bagi sebuah negara yang sangat berkuasa".

Taiwan tidak dibincangkan dalam mesyuarat itu. Isu Taiwan "tidak dibangkitkan. Ia sebenarnya tidak dibincangkan", kata Encik Trump semasa di Air Force One.

Encik Trump berulang kali menyebut tentang prospek mencapai perjanjian dengan Encik Xi memandangkan para perunding berkata pada Ahad bahawa mereka sudah pun bersetuju dengan rangka kerja bersama China yang akan mengelakkan tarif 100 peratus Amerika ke atas barang import China dan mencapai penangguhan sekatan eksport China ke atas nadir bumi, sektor yang dikuasainya.

Namun, dengan kedua-dua negara semakin bersedia untuk bertindak tegas dalam persaingan ekonomi dan geopolitik, banyak persoalan masih timbul mengenai berapa lama ketegangan perdagangan yang reda buat sementara waktu ini akan bertahan.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita