Skip to main content

Dunia

Trump tuduh Iran bertanggungjawab atas serangan Houthi

Presiden Donald Trump berkata pada Isnin (17 Mac) bahawa beliau akan menganggap Iran bertanggungjawab atas sebarang serangan yang dilakukan oleh kumpulan Houthi, sedang pentadbirannya memperluaskan operasi ketenteraan terbesar Amerika Syarikat di Timur Tengah sejak Encik Trump kembali ke Rumah Putih.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump tuduh Iran bertanggungjawab atas serangan Houthi

Penyokong Houthi di sebuah perhimpunan anti-Amerika dan anti-Israel di Sanaa, Yaman, pada 17 Mac 2025. (Gambar: AP/Osamah Abdulrahman)

Diterbitkan : 18 Mar 2025 06:58AM Dikemas Kini : 18 Mar 2025 06:59AM
WASHINGTON: Presiden Donald Trump berkata pada Isnin (17 Mac) bahawa beliau akan menganggap Iran bertanggungjawab atas sebarang serangan yang dilakukan oleh kumpulan Houthi, sedang pentadbirannya memperluaskan operasi ketenteraan terbesar Amerika Syarikat di Timur Tengah sejak Encik Trump kembali ke Rumah Putih.

Dalam responsnya terhadap ancaman Houthi ke atas laluan perkapalan antarabangsa, Amerika melancarkan serangan udara besar-besaran pada Sabtu (15 Mac). Pada Isnin (17 Mac), bandar pelabuhan Laut Merah, Hodeidah dan Al Jawf di utara ibu kota Sanaa menjadi sasaran, lapor stesen TV, Al Masirah yang dikendalikan Houthi.

"Setiap tembakan yang dilepaskan oleh Houthi akan dipandang serius, sebagai tembakan yang dilepaskan daripada senjata dan kepimpinan Iran, dan Iran akan dipertanggungjawabkan, dan Iran akan menanggung padahnya!" ikrar Encik Trump di platform Truth Social.

Rumah Putih menyatakan bahawa mesej Encik Trump kepada Iran adalah untuk memandang serius terhadap amaran dari Amerika Syarikat.

Sekurang-kurangnya 53 orang terbunuh dalam serangan itu, dedah kementerian kesihatan yang dikendalikan Houthi pada Ahad (16 Mac). Lima kanak-kanak dan dua wanita adalah antara mangsa, dengan 98 yang lain cedera, katanya.

Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas jumlah mangsa tersebut.

Houthis, sebuah gerakan bersenjata yang telah menguasai bahagian paling ramai penduduk di Yaman walaupun hampir sedekad pengeboman diterajui oleh Arab Saudi, telah melancarkan beberapa serangan ke atas kapal-kapal komersil sejak November 2023, sekali gus menjejas perdagangan global.

Seorang pegawai Amerika memberitahu Reuters bahawa serangan-serangan Amerika mungkin berterusan selama beberapa minggu. Washington juga telah meningkatkan tekanan sekatan ke atas Iran semasa cuba membawanya ke meja rundingan berhubung program nuklear negara Timur Tengah itu.

Seorang pegawai menyampaikan surat daripada Encik Trump minggu lalu, yang mencadangkan rundingan nuklear dengan Tehran, dengan saranan itu ditolak oleh Pemimpin Ulung Iran, Ayatollah Ali Khamenei sebagai satu "penipuan" oleh Washington.
 
Sumber : Reuters/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita