Trump tolak amaran 'palsu' AI boleh musnahkan kemanusiaan
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bercakap kepada media di dalam pesawat Air Force One dalam perjalanan ke Pangkalan Bersama Andrews, Maryland, Amerika Syarikat, selepas lawatan dua hari ke Ireland pada 13 September 2026. (Gambar: REUTERS/Kylie Cooper)
Pendirian Encik Trump itu dibuat sedang kebimbangan antarabangsa mengenai AI semakin meningkat, dengan beberapa pemimpin syarikat teknologi sendiri menggesa supaya pembangunan kecerdasan super komputer diperlahankan.
Encik Trump berkata Amerika Syarikat tidak mampu kalah dalam persaingan teknologi dengan China dan menegaskan bahawa satu-satunya kawal selia yang diperlukan ialah “seorang presiden yang kuat dan bijak (IQ tinggi!), dan Amerika Syarikat memilikinya, malah lebih daripada mencukupi!”
“AI mengambil alih dunia, mencetuskan kepupusan manusia dan segala perkara buruk lain adalah satu penipuan,” kata Encik Trump dalam salah satu daripada beberapa catatan mengenai perkara itu di rangkaian Truth Social miliknya.
Encik Trump membandingkannya dengan apa yang disifatkannya sebagai “semua penipuan lain”, termasuk siasatan mengenai hubungan antara kempen pilihan rayanya dengan Rusia, dan pemecatannya berhubung Ukraine, kedua-duanya semasa penggal pertamanya.
Awal dari itu, Encik Trump mendakwa wujud apa yang disifatkannya sebagai “konspirasi tidak sihat” terhadap AI dan menyerang “penganut teori konspirasi, pengkhianat dan pembocor maklumat” yang menentang teknologi tersebut.
Pemimpin Amerika Syarikat itu turut mengecam Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Anthropic Dario Amodei, yang pada Sabtu menggesa syarikat AI memperlahankan pembangunan teknologi tersebut, serta beberapa firma lain.
“Pentadbiran Trump sudah menghalang ‘orang-orang’ AI daripada melakukan ‘perkara’ buruk atau yang berpotensi buruk, seperti Dario (Anthropic!),” tulis Encik Trump.
Encik Trump, yang menjadikan pusat data AI sebagai antara teras rancangan ekonominya, mempersoalkan mengapa syarikat AI mahukan kawal selia yang menurutnya “akan menyebabkan mereka dilupakan dan muflis”.
Beliau turut mengkritik Google dan menggesa syarikat itu menimbangkan semula rancangan pelaburan AI bernilai AS$15 bilion (S$19 bilion) di Finland, yang menurutnya berpunca daripada “kesukaran mendapatkan permit di Amerika Syarikat”.
Namun, Encik Trump, 80 tahun, berdepan tentangan semakin meningkat daripada pengundi Amerika Syarikat di tengah-tengah kebimbangan bahawa AI boleh membawa kepada kemusnahan kemanusiaan dengan menghasilkan patogen atau mencetuskan perang nuklear.
Majoriti rakyat Amerika juga menentang pusat data AI yang menggunakan tenaga dalam jumlah besar, yang menjadi isu utama menjelang pilihan raya separuh penggal Amerika Syarikat pada November.
Encik Amodei, yang syarikatnya Anthropic menghasilkan sistem AI Claude, segera mendapat sokongan CEO OpenAI Sam Altman dan bekas sekutu Trump, Elon Musk, yang turut memiliki xAI.
Amaran terbaharu itu tercetus selepas pembangun OpenAI melaporkan beberapa insiden yang membimbangkan apabila model AI berjaya keluar daripada persekitaran ujian yang sepatutnya selamat, mengakses internet dan berkoordinasi untuk menyerang Hugging Face, sebuah laman tempat kod disimpan.
“MEDAN PERTEMPURAN UTAMA”
Encik Trump sejak sekian lama menyifatkan AI sebagai penting bagi mengekalkan kelebihan teknologi, ekonomi dan keselamatan Amerika Syarikat berbanding China.
Encik Trump berkata Presiden China Xi Jinping, yang akan diterimanya di Rumah Putih minggu depan, “baru sahaja mengumumkan bahawa China sama sekali tidak akan melakukan apa-apa untuk menghalang AI atau masa depannya”.
Namun, Beijing turut bimbang mengenai teknologi tersebut.
Ketua perisikan China memberi amaran pada Ahad bahawa kecerdasan buatan mengancam keselamatan negara itu, dengan berkata kuasa asing boleh menggunakan teknologi tersebut untuk mengancam ketenteraman sosial.
Menteri Keselamatan Negara Chen Yixin menulis dalam satu rencana bahawa AI kini merupakan “medan pertempuran utama bagi persaingan teknologi global dan landasan baharu bagi persaingan strategik antara kuasa besar”.
Beliau secara khusus menyebut Claude Mythos milik Anthropic dan ChatGPT-5.5-Cyber milik OpenAI kerana keupayaan penggodaman canggih yang berpotensi “menimbulkan risiko serius terhadap prasarana maklumat penting China”.
Kebimbangan global mengenai AI dan kemungkinan ia mencetuskan kepupusan manusia meningkat dengan mendadak sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan mesyuarat mengenai kecerdasan buatan minggu depan di tengah-tengah kebimbangan antarabangsa yang semakin meningkat, menurut sumber diplomatik Perancis pada Isnin.
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Volker Turk pada Isnin menggesa negara-negara dan syarikat AI mengambil tindakan segera untuk mengawal teknologi yang menurutnya menimbulkan “risiko yang belum pernah berlaku sebelum ini”.
Raja Charles III dari Britain juga akan menjadi tuan rumah kepada wakil syarikat AI terkemuka dalam satu pertemuan di Scotland, menurut sumber yang mengetahui mengenai acara tersebut pada Isnin, sedang kebimbangan terus meningkat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.