Trump timbang bekalkan lebih banyak peluru berpandu Patriot untuk Ukraine
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyatakan pada Rabu (25 Jun) bahawa beliau akan menimbangkan untuk membekalkan lebih banyak peluru berpandu Patriot yang diperlukan oleh Ukraine untuk melindungi negara itu daripada serangan Rusia yang semakin meningkat, sambil menambah bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin "benar-benar perlu menamatkan perang antara kedua-dua negara itu".
Presiden Amerika Donald Trump dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menghadiri mesyuarat di luar sidang puncak NATO di The Hague, Belanda pada 25 Jun 2025. (Gambar: Perkhidmatan Akhbar Presiden Ukraine/Reuters)
Kenyataannya itu dikeluarkan selepas pertemuan selama 50 minit dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy di luar Sidang Puncak NATO di The Hague.
Kedua-dua pemimpin menyifatkan pertemuan itu sebagai langkah positif dalam konflik yang disifatkan oleh Encik Trump sebagai "lebih sukar daripada peperangan lain".
Semasa sidang media di mana beliau memuji usaha diplomatiknya sendiri di Timur Tengah, Encik Trump berkata peluru berpandu Patriot "sangat sukar untuk diperoleh" tetapi "kami akan melihat sama ada kami boleh membekalkannya untuk Ukraine".
Encik Zelenskiyy menyebut tentang sistem pertahanan udara tetapi tidak jelas sama ada Encik Trump merujuk kepada lebih banyak peluru berpandu atau bateri.
Encik Trump juga membuka kemungkinan menghulurkan lebih banyak bantuan ketenteraan kepada Kyiv, yang telah mengalami bedilan demi bedilan di medan perang sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Encik Trump sebelum ini tidak menunjukkan sebarang petanda untuk menyambung semula sumbangan senjata kepada Ukraine yang telah dimulakan oleh pendahulunya Joe Biden selepas Rusia melancarkan pencerobohan besar-besaran pada 2022.
Ditanya sama ada Amerika akan menyumbang lebih banyak dana kepada pertahanan Ukraine tahun ini, Encik Trump berkata: "Kita akan lihat dahulu apa yang berlaku."
Encik Zelenskiyy berkata sebelum mesyuarat pada Rabu bahawa Ukraine bersedia untuk membeli lebih banyak Patriot jika Amerika tidak mahu membekalkannya. Beliau berkata rundingan dengan Encik Trump adalah "panjang dan substantif".
"Ukraine bersedia untuk membeli peralatan ini dan menyokong pengeluar senjata Amerika," tulis Encik Zelenskiyy di X. "Kami juga membincangkan potensi pengeluaran bersama dron. Kami boleh menguatkan satu sama lain."
Encik Trump menambah bahawa beliau tidak lama lagi akan berunding sekali lagi dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, sambil menambah: "Vladimir Putin benar-benar harus menamatkan perang ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.