Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump 'tidak tergesa-gesa' runding isu tarif balas dengan Xi

Anggaran Waktu Membaca:
Trump 'tidak tergesa-gesa' runding isu tarif balas dengan Xi

Bendera negara China dan Amerika. (Gambar: Andy Wong/AP)

Diterbitkan : 05 Feb 2025 07:51AM Dikemas Kini : 05 Feb 2025 07:52AM
WASHINGTON: Presiden Amerika Donald Trump berkata pada Selasa (4 Feb) bahawa beliau tidak tergesa-gesa untuk bercakap dengan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping.

Ini meskipun terdapat jangkaan bahawa mereka akan mengadakan rundingan selepas Beijing mengumumkan tarif balasnya di tengah-tengah konflik perdagangan yang semakin sengit.

Beijing menyatakan negara itu akan melaksanakan levi ke atas import tenaga, kenderaan dan peralatan Amerika Syarikat, sebagai langkah tindak balasnya, hanya beberapa minit selepas ancaman Encik Trump untuk melaksanakan tarif ke atas barangan China berkuat kuasa pada Selasa.

Encik Trump menangguhkan tarif yang dijangka dikenakan ke atas Mexico dan Kanada sehari sebelumnya, selama sebulan, selepas kedua-dua negara itu berikrar untuk meningkatkan langkah-langkah untuk mengawal pengedaran ubat tahan sakit fentanyl dan kemasukan pendatang haram ke Amerika Syarikat.

Encik Trump sebelum ini memberi isyarat bahawa beliau akan mengadakan rundingan bersama Encik Xi awal minggu ini.

Namun, beliau berkata bahawa beliau "tidak tergesa-gesa" untuk berunding dengan Encik Xi, semasa bercakap kepada wartawan di Rumah Putih pada tengah hari Selasa.

Pasaran saham goyah sedang pelabur melakukan persiapan untuk berhadapan dengan pasaran yang tidak menentu dalam beberapa minggu akan datang ini, berikutan ancaman tarif Encik Trump ke atas tiga rakan dagang barangan terbesar bagi Amerika.

Encik Trump mengenakan tarif baharu 10 peratus ke atas barangan China, di samping levi yang sudah dilaksanakan terhadap pesaing ekonomi terbesar Washington. Mexico dan Kanada menghadapi tarif 25 peratus.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt mendedahkan pada Isnin bahawa Encik Trump akan bercakap dengan Encik Xi, tetapi beliau berkata pada Selasa bahawa beliau tidak mempunyai "sebarang kemas kini mengenai bila panggilan itu akan dibuat".

"Beliau tidak akan membenarkan China terus memperolehi dan mengedarkan ubat tahan sakit fentanyl yang membawa maut ke negara kami, itulah sebab tarif ini dikenakan," jelas Cik Leavitt kepada wartawan.

Ditanya sama ada Encik Trump boleh menggugurkan pelaksanaan tarif ke atas China juga, beliau menambah: "Terpulang kepada bos. Saya tidak pernah mendahului bos, itulah sebabnya saya duduk di sini."
Sumber : AFP/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan