Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump tidak dipenjara atau dihukum atas kes wang sogokan

Anggaran Waktu Membaca:
Trump tidak dipenjara atau dihukum atas kes wang sogokan

(Gambar: AFP/GETTY IMAGES NORTH AMERICA)

Diterbitkan : 11 Jan 2025 07:42AM Dikemas Kini : 11 Jan 2025 08:20AM
NEW YORK: Bakal Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tidak akan ke penjara atau berdepan sebarang hukuman atas pendakwaannya berhubung pembayaran wang sogokan kepada seorang artis lucah.

Namun hakim yang memutuskan hukuman itu pada Jumaat (10 Jan)berkata pelantikan Encik Trump pada 20 Januari tidak akan memadamkan keputusan juri.

Hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Juan Merchan ke atas Encik Trump, 78 tahun, dilepaskan tanpa syarat, namun mempunyai rekod bersalah dan menutup kes yang menjejas usaha Encik Trump untuk kembali ke Rumah Putih.

Encik Trump akan menjadi presiden pertama dengan sabitan jenayah.

Hakim Merchan berkata beliau tidak menjatuhkan hukuman penjara, denda atau probesen, kerana Perlembagaan Amerika melindungi presiden daripada pendakwaan jenayah.

Namun, beliau berkata perlindungan yang diberikan kepada presiden tidak mengurangkan perbuatan jenayah yang serius atau mewajarkan keputusannya.

Encik Trump mengaku tidak bersalah dan berjanji untuk merayu keputusan tersebut, sambil berkata kes tersebut adalah usaha yang gagal untuk menjatuhkan kempennya.

"Ini pengalaman yang sangat buruk," kata Encik Trump.

"Saya tidak bersalah, saya tidak melalukan apa-apa kesalahan," tambahnya.

Encik Trump tidak memberi keterangan semasa perbicaraan selama enam minggu tahun lalu, namun beliau berulang kali memperlekehkan Hakim Merchan dan Peguam Daerah Manhattan Alvin Bragg, yang mengendali kes itu, dalam kenyataan awam.

Joshua Steinglass, seorang pendakwa di pejabat Encik Bragg, berkata bahawa pendakwa menyokong hukuman pelepasan tanpa syarat itu.

Encik Trump, yang sudah dijatuhkan hukuman, kini bebas untuk membuat rayuan, yang boleh mengambil masa bertahun dan berlaku semasa penggal empat tahunnya sebagai presiden.
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan